Share

BAB 3

“THUFAILA!” jerkah ASP Jimmy dari arah rumah sebelah. Terkejut Thufaila bila lelaki itu selamba menjerit di cuping telinganya.

Kalau tak ganggu hidup orang memang tak sah dia ni!

“Astaghfirullah. Engkau ni dah kenapa Jimmy! pagi-pagi sibuk nak buat orang naik hantu. Dah tak ada kerja lain ke yang engkau nak buat selain mengejutkan jantung aku ni?” Thufaila mengomel nada sebal. Bibir diketap rapat.

Benci betul dengan mamat ni. Suka sangat buat orang nak gugur jantung.

Hatinya sungguh sakit melihat ASP Jimmy muncul depan mata. Lelaki itu sering menghilangkan keceriaan setiap kali mereka bersua muka.

“Aku memang tak ada kerja pun hari ini. Sebab itulah aku kacau hidup kau. Tak boleh ke?” Lelaki itu tersenyum nakal sambil anak matanya melirik nakal di hadapan Thufaila.

“Engkau ni memang tak ada rumah, kan? Asalkan cuti aje engkau melepak dekat rumah Ahmad. Kahwinlah cepat-cepat supaya engkau tak menagih simpati dekat rumah orang lain. Kadang-kadang, aku kasihan lihat kehidupan kau ni, Jimmy Neutron.”

Thufaila Ajwa mengetap bibir. Muka ketatnya jelas kelihatan. ASP Jimmy pula masih tayang wajah kosong seperti tiada salah.

“Kahwin? Aku tunggu engkau aje ni. Bila engkau nak terima lamaran dari mak aku? Masuk kali ini dah dua kali engkau tolak lamaran aku tau? Kali ke berapa agaknya kau sudi terima lamaran dari insan bernama Khairun Najmi, wahai Thufaila Ajwa?”

ASP Jimmy mengomel panjang. Tangan sudah bercekak pinggang. Thufaila mengecilkan biji mata setelah mendengar ujaran yang sudah bernoktah itu. Besar kecil besar kecil aje dia pandang si Jimmy ni.

“Kalau aku dah tolak lamaran engkau, maknanya aku memang tak sudi nak menjadi teman hidup Jimmy Neutron macam kau ni.” Tersungging senyuman di bibir ASP Jimmy. Langsung tidak terasa hati dengan ungkapan Thufaila. Dia sudah lali mendengar perkataan itu.

“Engkau nak tunggu bidadara jatuh dari langit ke baru kau nak berkahwin? Umur engkau tu dah lanjut tau? Aku rasa tak ada sesiapa mahukan engkau selain aku. Kalau duda nak berkahwin dengan engkau pun, mesti mereka fikir berjuta kali.” Rahang Thufaila terlurut jatuh. Tangan bersiap sedia mengepal penumbuk. Siap sedia untuk dilayangkan.

Tak sayang mulut betullah dia ni!

“Mulut engkau ni dari dulu sampai sekarang memang tak reti nak jaga. Macam manalah manusia berperangai sewel macam engkau ni boleh jadi anggota polis eh?” 

Thufaila menggigit bibir. Geram!

Matanya bertambah tajam merenung ke dalam mata ASP Jimmy. Pandangannya bagai mampu menikam hingga ke lubuk hati ASP Jimmy yang paling dalam.

Sewel? Hei, aku ni walaupun nampak sewel dipandangan mata engkau, tapi aku dah selamatkan beribu nyawa. Aku dah tumpaskan banyak penjenayah dalam Malaysia ni.”

ASP Jimmy menyeringai tiba-tiba. Dia berbicara nada riak. Dia mendepang dada.

Wajah Thufaila semakin berderau. Dapat dia merasakan seolah-olah darah dimukanya disedut keluar, setiap kali lelaki itu bersuara lagak bersahaja.

“Eleh, engkau tu mesti tahu arahkan orang saja. Maklumlah ASP Jimmy, kan? Mana mahunya nak turun padang kejar penjenayah,” cantas Thufaila lagi.

“Kalau kau betul-betul nak tahu cara aku berkerja, apa kata engkau doa dekat tuhan supaya diri kau tu ditimpa kecelakaan. Waktu tu, mesti aku akan datang membantu.”

Jeda. Thufaila terlopong.

Beraninya dia suruh aku berdoa dekat Allah agar ditimpa kecelakaan? Orang lain sibuk nak elak malapetaka, dia sibuk nak suruh seru!

“Daripada aku minta tolong engkau, lebih baik aku minta tolong jiran sebelah yang tak banyak kerenah macam engkau ni.” ASP Jimmy meletus tawa. Terasa lucu mendengar patah perkataan yang terbit dari bibir Thufaila.

“Kenapa pula nak minta tolong dia kalau dah ada orang tersayang sudi membantu?” tiba-tiba kepalanya mendekati Thufaila. Selamba. 

Semerta, gadis itu mengundurkan kepalanya ke belakang. Terkejut dengan tindakan Jimmy.

Berani sungguh dia panjangkan leher semata-mata nak dekatkan kepala dia tu.

Eyur... Orang tersayang? Sejak bila pulalah aku sayangkan dia!

“Mesti aku akan lagi selamat bila minta pertolongan dari orang macam dia. Sekurang-kurangnya Ahmad tu tak menyakitkan hati walaupun aku ni selalu sakit mata bila dia tu pakai kaca mata hitam sepanjang masa.” Kali ini, nada suara Thufaila menjadi semakin lantang.

“Bercakap dengan dia pun tak pernah agaknya. Tiba-tiba nak minta tolong dia dah kenapa?” sanggah ASP Jimmy lagi.

Thufaila hanya membalas dengan jelingan mata. Malas dia mahu membalas kata.

“Sekarang ini memanglah engkau tak perlukan aku lagi. Tapi nanti, percayalah yang kau perlukan aku dalam hidup kau. So, if anything happens just call my name!” 

Thufaila mengelip-ngelip mata. Dan-dan dia rasa nak termuntah bila ASP Jimmy kata begitu. Nada suara yang lembut itu membuatkan jiwa Thufaila semakin tersentak.

Call my name, konon!

Huh?” Thufaila menggaru sisi kepalanya. Dahi mula berlapis tebal.

“Remember it. Call my name!”

“Engkau ni makin pelik. Macam psiko pun ada! Sudahlah aku nak masuk dalam.” Thufaila terus melangkah kaki untuk masuk ke dalam rumah. Tak jadi dia mahu menyidai baju yang berlambak dalam bakul.

Thuffahun, Apple.” Automatik kepala Thufaila berpusing kembali bila ASP Jimmy melaung panggilan itu.

“Apa masalah engkau ni. Perangai engkau memang tak pernah nak berubahlah. Asyik nak samakan aku dengan buah epal dah kenapa?” suaranya pula mula menyambar telinga ASP Jimmy. Kening si jejaka sedikit terjongket bila suara Thufaila lebih kuat berbanding tadi.

Buku lima Thufaila sudah dihalakan ke mukanya. Nasib saja Thufaila tidak mengayun penumbuk tepat melekat ke muka si jejaka. Kalau tidak, orang lain makan nasi dia makan penumbuk pula hari ni.

“Ejek balasannya ejek. Tadi engkau panggil aku Jimmy Neutron aku okey je? Tak akanlah aku panggil kau Thuffahun pun kau nak marah?”

Allah! Apa lagi yang mamat ni nak? Memang rutin harian nak buat emosi orang lain agaknya.

“Harap muka aje macam bapak orang! Tapi perangai gila kau ni tak pernah nak berubah. Macam mana kau ni boleh ditugaskan untuk tangkap penyangak eh? Aku rasa mesti misi selalu gagal disebabkan orang macam kau. Langsung tak serius dalam kerja.” Riak wajah Thufaila semakin keruh.

Sikap Jimmy amat menjengkelkan. Kadang-kadang, Thufaila rasa nak pagar seluruh rumah letak dinding penghalang supaya dia tidak melihat susuk tubuh dan wajah si jejaka yang sering berkeliaran di rumah jiran sebelah.

Mungkin Thufaila semakin meluat terhadap Jimmy kerana peristiwa lalu. Hurm, tapi memang ada pun kes sebegini dalam dunia realiti, kan?

Ada sesetengah orang bila terpandang seseorang dia sudah terkena panahan asmara. Ada pula sesetengah orang, bila terpandang satu wajah dia mula meluat gila-gila tanpa tahu sebabnya. Kiranya Thufaila di kategorikan dalam golongan manusia yang ke dua. Baru pandang dah rasa menyampah!

“Kau bukan rakan sepasukan aku, jadi kau boleh judges aku ikut suka kau. Yang penting, engkau tak halang aku untuk terus kejar cinta kau.” Meledak tawa Thufaila mendengar bait kata dari ASP Jimmy.

Dia ni dah kenapa? Jiwang karat gila.

“Lantak kau lah nak kejar cinta aku pun. Kau kena tahu, yang aku memang tak akan terima kau dalam hidup aku.” Terus dia langkahkan kaki masuk ke dalam.

Tiada masa mahu melayan.

“YUHUUU, Ahmad buat apa tu? Angkat kain ke?”

Thufaila yang baru saja membuka pintu pagar untuk ke pejabat pos laju, segera menegur Ahmad yang baru saja mengangkat kain jemuran. Saja dia mahu beramah mesra dengan si jejaka.

Pagi tadi, tidak sempat dia menegur Ahmad bila ASP Jimmy muncul depan muka.

Selang beberapa saat bertanya, persoalan Thufaila hanya dibiarkan seperti angin lalu. Lelaki itu hanya mengerling sekilas tanpa memberi jawapan. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan reaksi Thufaila.

Eeh, dia berambus macam itu aje?

“Punyalah melebar senyuman yang aku hadiahkan dekat dia, boleh pula dia buat muka arrogant depan aku! Misteri sungguhlah dia tu.” Thufaila menarik nafas berat. Sakit hati.

“Selama tiga bulan aku hidup berjiran dengan dia, sekalipun dia tak pernah tanggalkan kaca mata hitam dia. Kenapa eh? Asalkan keluar daripada rumah aje mesti dia bersikap dingin dan tak bertegur sapa. Aku berjiran dengan manusia ataupun jin? Perangai dia pelik semacam,” sambung dia lagi. Jari telunjuk mula menggaru pipi sendiri. 

Berfikir sejenak.

“Cantik sangat ke biji mata dia tu sampai beria-ia pakai spek mata? Boleh pecah ovari ke kalau aku terpandang sepasang mata dia tu? Ergh, menyampah!”

Semakin aneh melihat tingkah laku lelaki bernama Ahmad. Kalau dia tak dengar si Jimmy tu panggil nama panggilan untuk si jejaka, sudah tentu sampai sekarang dia tidak tahu siapa nama lelaki itu.

“Akak membebel apa tu? Cepatlah pergi pos laju. Lepas tu pergi kedai belikan maggi sebungkus. Athuf dah lapar ni,” tegur Athuf yang merupakan adik bongsunya.

Athuf baru pulang ke rumah untuk menghabiskan cuti semesternya di rumah kakak kesayangannya. Jika dia pulang ke kampung, pasti perjalanannya memakan masa yang lama. Dari Kuala Lumpur ke Negeri Kedah sudah tentu memakan masa selama tujuh ataupun lapan jam. Untuk menjimatkan wang, tenaga dan masa, dia tinggal saja di rumah Thufaila selama sebulan.

“Eleh budak ni tahu nak mengarah saja. Tunggu ajelah dekat rumah ni diam-diam.” Thufaila menjuling mata ke atas tanda protes. Nafas berat terluah keluar.

“Athuf pelik bila lihat akak membebel seorang diri dekat luar rumah ni. Ingatkan kena sampuk hantu tadi.” Raut mukanya berbias tanda tanya. Thufaila pula mula mengerling ke arah muka pintu.

“Akak tertanya-tanya, macam mana Jimmy Neutron tu boleh berkawan dengan manusia pelik macam jiran kita ni eh? Dahlah sombong tak reti nak bergaul. Akak tanya dia buat apa pun dia tak hiraukan akak. Sakit hati kita.”

“Sakit hati kita? Aik, hati akak je yang sakit. Jangan nak libatkan hati Athuf pula.” Saja dia bergurau. Thufaila tersenyum sengih bila Athuf kata begitu.

“Abang Jimmy tu peramah orangnya. Semua orang selesa bila berkawan dengan dia. Akak tu aje yang tak habis-habis nak cari kesalahan dia. Kenapalah akak benci sangat dengan dia tu sampai akak tergamak tolak pinangan Mak Awe untuk kali yang ke dua.” Kompelin Athuf.

Sukar mahu mentafsir apa yang terpendam dalam hati si kakak. Thufaila hanya tayang wajah kosong.

Huh, apa yang nak hairan jika memang dia tak sukakan si ASP Jimmy tu? Hanya dia seorang saja yang tahu kenapa dirinya sangat meluat dengan lelaki itu.

Seandainya dia membuka cerita dari A sampai Z tentang ASP Jimmy, sudah tentu orang lain pun sukar nak percaya siapa diri lelaki itu yang sebenar.

“Dia tu memang selalu sangat buat salah dengan akak. Memang patut pun akak sakit hati dengan lelaki macam dia. Nasib baik dia punya rumah dekat bahagian hujung taman. Kalau dia jiran sebelah rumah, boleh gila agaknya bila layan perangai dia tu.” Athuf menggeleng laju kepalanya.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status