Share

BAB 4

MIMPI itu datang lagi.

Ahmad terjaga dari tidur lenanya. Dia melihat jam yang melingkar di dinding. Jarum jam menunjukkan ke angka lima setengah pagi. Lantas, Ahmad sandarkan tubuhnya pada kepala katil. Kerap benar mimpi itu hadir dalam lenanya.

Adakah mimpi itu hanyalah mainan syaitan semata atau ia sebenarnya petunjuk?

Kalau benar ianya satu petunjuk, apakah yang perlu Ahmad lakukan andai ia menjadi kenyataan? Tak akan pula dia perlu menyelamatkan manusia yang hadir dalam mimpinya itu?

“Musibah apa lagi yang bakal menimpa hidup aku!”

Ahmad buntu. Dia tertekan bila terpaksa membebankan minda dengan mimpi yang aneh. Ahmad melepaskan perasaan yang bercampur-campur. Bibir bergetar-getar menahan perasaan takut yang sudah menjelma.

“Mata aku ni selalu bawa musibah. Sekarang ini, mimpi aneh pula yang hadir untuk bebankan emosi aku. Kenapa hidup aku tak pernah aman haaa?

Ahmad memejamkan mata. Dia tidak mampu menenangkan diri. Memori lama serta-merta masuk dan berlegar-legar dalam ingatannya.

“Mami mati disebabkan aku! Kalau aku tak beritahu mami yang pembunuh tu bunuh arwah papa dekat dalam rumah, mesti mami tak akan masuk dalam rumah puaka tu.” Ahmad menyentuh dada yang terasa pedih.

Walaupun sesaat, dia tidak akan melupakan peristiwa yang pernah muncul dalam hidupnya. Ahmad tidak mampu melupakan sejarah pahit itu. Sejak kecil, Ahmad hidup dalam kepayahan saat kehilangan keluarga yang tercinta. Dia hilang segala-galanya kerana pembunuhan bersiri itu amat mengerikan. Cara pembunuhan kejam itu membuatkan Ahmad menjadi trauma.

Sehingga kini, dia tidak mampu memaafkan si pembunuh. Dia kehilangan kasih sayang sekelip mata dan menjadi anak yatim piatu di usia muda. Ahmad terkilan kerana tidak mampu berbakti kepada kedua ibu bapanya setelah meningkat dewasa.

Sejenak, dia gigit bibir bawah dalam tangisan pilu. Dahinya mula berkerunyut. Kemudian, dia teringatkan mimpi yang baru saja datang menyinggah. Kali ini dia tutup telinga kanan dan kiri.

Tertekan!

Siapakah manusia yang muncul dalam mimpinya? Mengapa aku melihat satu tubuh dalam sebuah kontena bagaikan diculik? Siapakah perempuan yang kerap muncul dalam keadaan lemah? Kenapa aku dengar satu tembakan dari dalam kontena? Mungkinkah perempuan itu mati kerana ditembak? Apakah maksud di sebalik mimpi itu?

Ahmad berteka-teki sendiri. Buntu.

“Aku tak ingat wajah dia. Tapi aku ingat sangat ...” Ahmad menghembus nafas berat. Katanya terhenti dipertengahan ayat. Makin pening kepala dibuatnya.

Malas mahu berfikir lebih lanjut, Ahmad terus mengambil tuala untuk membersihkan diri. Lebih baik dia bersedia lebih awal sementara menunggu azan subuh berkumandang sebentar lagi.

Seusai membersihkan diri dan menunaikan solat subuh, Ahmad bersiap untuk bersenam di pagi hari. Sudah menjadi rutin hariannya untuk mengeluarkan segala peluh untuk hidup dalam keadaan yang sentiasa sihat.

Ahmad duduk sebentar di atas bangku kecil dan meneguk air suam yang tersedia dalam botol. Beberapa detik, dia memandang kosong ke arah dinding sambil mengunyah roti.

Saat anak matanya melirik pandang ke arah dinding kanan, tiba-tiba matanya terpandang satu suasana yang mengejutkan seluruh jiwanya.

“Astaghfirullahalazim.” Terpempan.

Pantas Ahmad menutup mata dengan tapak tangan. Kemudian, segera dia mencapai kaca mata hitam dalam laci untuk disarungkan ke wajah. Hanya kaca mata hitam itu saja yang mampu menghalang pandangan matanya dari menembus pandang sudut dalam dinding.

Pucat lesi muka dibuatnya.

“Kenapa aku tak tahu yang bahagian kanan dinding bilik aku ni rupanya tandas rumah jiran sebelah? Aduih, menyesal pula aku tak buat penghalang dekat dinding belah kanan ni!” Ahmad tergeleng sendiri. Dia semakin sebal dengan situasi yang dia alami.

“Kenapa dengan kau ni mata? Makin banyaklah dosa aku kalau hari-hari mata aku ni boleh pandang dia berpakaian separuh bogel melalui dinding tu.” Sebelah kening Ahmad ternaik. Dia masih berzikir panjang bila terlihat benda yang tidak sepatutnya.

“Aduhai, nasiblah dia pakai tuala. Kalau dia tak pakai tuala? Entah apa yang aku nampak.” Rasa nak terkeluar jantung bila melihat sesuatu yang membeliakkan biji mata. Terasa nak terkeluar biji mata dari dalam soket.

“Aku kena beli Zipper Wardrobe ni supaya mata aku tak tertembus dekat dinding batu ni. Ruginya aku tak beli lebih waktu aku berpindah rumah hari tu.” Ahmad membebel sendirian. Mindanya masih terbayang tubuh seksi yang baru saja dia lihat tadi.

Argh, jangan buat hal Ahmad! Jangan gatal sibuk terbayang tubuh anak dara orang.

“Patut ke aku beritahu dia supaya tutup aurat dekat dalam rumah dia sendiri? Kalau aku cakap macam itu mesti dia pelik, kan?”

Puzzle!

ARGH... Tolong...

Ahmad yang baru saja menapak turun dari anak tangga terus tersentak saat sepasang telinga mendengar satu suara berteriak kuat. Dia tidak pasti dari mana datangnya suara itu. Tapi apa yang pasti pemilik suara itu adalah seorang gadis.

Segera Ahmad fokuskan sepasang matanya memandang ke tingkat bawah dan bahagian luar rumah. Kali ini Ahmad perlu mengenal pasti suara yang baru dia dengar tadi.

Rumahnya terletak di bahagian paling hujung. Ahmad tidak yakin yang suara itu datangnya dari arah luar rumah atau di penghujung jalan kerana suara itu sangat jelas.

“Sakit... Tolong akak, Athuf.” Suara itu masih kedengaran walaupun samar-samar. Dia yakin ada seseorang ditimpa musibah. Kemudian, perlahan-lahan Ahmad melangkah ke ruang tamu agar dia dapat mengenal pasti apa yang berlaku.

“Jiran sebelah ke yang minta tolong?” Ahmad segera lekatkan telinga ke dinding. Ahmad masih teragak-agak mahu memerhatikan bahagian dinding yang bersambung dengan rumah jiran sebelah. Dia takut terpandang benda yang tidak sepatutnya.

Sakit … tolong.

Ahmad telan liur sendiri bila cuping telinganya jelas mendengar esakan tangis dari arah dinding. Tanpa berlengah lagi, kaca mata hitam di buka segera. Ahmad fokuskan mata memerhatikan dinding berwarna biru laut. Sambil Ahmad membaca bismillah, anak mata melingas memandang seluruh kawasan dinding tersebut. Buntang matanya saat sepasang mata terlihat satu tubuh tersungkur di bahagian tangga rumah sebelah.

Uit, dia jatuh gedebuk macam nangka busuk.

Matanya dapat menangkap baju-baju dan kotak yang berselerak di atas lantai rumah. Dia yakin gadis itu terjatuh ketika mengangkat kotak dari tingkat atas rumahnya.

“Mesti rumah dia tak ada orang. Aku perlu bantu dia.”

ASSALAMUALAIKUM...

Thufaila yang masih memicit kaki dalam keadaan terbaring terus halakan mata ke arah suara yang sudah memberi salam dari luar. Walaupun dia tak larat nak angkat kepala, dia tetap gagah untuk memerhati. Thufaila benar-benar berharap yang Athuf sudah pulang dari perpustakaan Negara.

“Athuf, tolong akak.” Thufaila memanggil lemah nama itu. Anak matanya masih mengalirkan mutiara jernih. Sakit sungguh penangan jatuh tangga ni.

“Athuf? Siapa pula tu? Saya bukan Athuf. Saya Ahmad.” Membulat bibir Thufaila bila lelaki yang sentiasa bersikap dingin telah masuk ke kawasan pekarangan rumahnya.

Ahmad? Lelaki berkaca mata hitam.

‘Alamak, betulkan rambut. Lap air mata. Depan Ahmad kena nampak cantik.’ Sempat lagi Thufaila mahu memastikan pemakaiannya dalam keadaan sempurna depan Ahmad.

“Ahmad, masuklah pintu tak kunci. Awak pusingkan aje tombol tu.” Thufaila segera meminta Ahmad masuk ke dalam rumah. Dia yakin yang lelaki itu datang kerana mahu membantu.

Thufaila merasa lega kerana ada seseorang yang hadirkan diri.

Tanpa berfikir apa, Ahmad segera masuk ke dalam rumah dan menuju ke arah Thufaila.

“Boleh bangun tak ni?” soal Ahmad nada risau. Thufaila sedikit gumam melihat jejaka di hadapannya. Selama ini dia tak pernah dengar suara Ahmad.

Perasaan gugup menyelinap masuk dalam hati Thufaila. Berdegup-degup jantungku.

“Saya tak boleh nak bangun. Leher saya terseliuh tangan saya pun sama.” Thufaila meluah dalam keadaan sakit. Sambil dia meluah, sempat lagi dia perhatikan anak mata si jejaka.

Pergh, patutlah selama ini dia pakai cermin mata hitam. Dari mata turun ke hati ni.’

Dalam keadaan sakit, sempat lagi hatinya berbisik nakal. Thufaila tidak melepaskan sepasang mata milik Ahmad.

“Macam mana boleh terjatuh?”

“Saya tersungkur waktu saya nak turun tangga. Saya tak perasan saya tersalah langkah.” Ahmad menggeleng kepala. Dia yakin pasti si gadis seorang manusia yang kelam-kabut.

clumsy teruk!

“Saya hantar cik pergi ke hospital ya? Kaki cik bengkak dan perlukan rawatan segera.” Lelaki itu berbicara lembut.

Alahai, suara selembut bayu. Cair hati mendengarnya.

“Baiklah, si mata cantik.” Dalam tak sedar, bibir Thufaila mengukir senyuman. Anak matanya bersinar menatap lama ke dalam mata itu.

Terkulat-kulat Ahmad bila si gadis merenungnya bagai nak telan. Bicara spontan itu turut membuatkan Ahmad terpempan. Air liur ditelan cuba mengawal seriau.

Melihat riak wajah Thufaila begitu rupa, Ahmad terus sentuh wajahnya bila tersedar wajahnya kosong tanpa kaca mata. Sepantas kilat, tangan terus mengambil kaca mata yang terlekat di baju untuk disarungkan semula.

‘Alamak, kenapa pula dia pakai cermin mata. Aku baru nak feeling macam dalam cerita Korea, kononnya heroin pandang mata hero waktu hero datang membantu.’ Thufaila mendengus hampa.

Adeih, ingatkan ada scene mata bertentang mata.

“Kita perlu pergi ke hospital. Cik tunggu sini kejap ya? Saya pergi keluarkan kereta saya. Lepas itu nanti saya datang sini balik.” Segera Thufaila menggeleng kepala bila Ahmad mahu menggunakan keretanya untuk hantarnya ke hospital.

“Eh, tak payah. Awak Naik kereta saya je. Ini kunci kereta,” ujar Thufaila laju seraya dia menyelup poket seluar untuk keluarkan kunci. Kemudian, Thufaila segera menghulurkan kunci keretanya kepada Ahmad. Lelaki itu hanya mengangguk perlahan.

Beberapa detik berlalu, Ahmad mengangkat tubuh Thufaila untuk di bawa masuk ke dalam kereta. Terkesima Thufaila dibuatnya. Dia tak sangka yang lelaki itu selamba mendukung tubuhnya yang sudah terbaring.

Dia buat aku ni macam tak ada kaki pula nak berjalan.

“Eh, saya boleh jalan sendiri.” Thufaila menggoncang tubuh yang sudah berada dalam dakapan Ahmad. Berkerut seribu dahi melihat riak wajah lelaki itu. Ahmad menggeleng kepala sebelum bersuara.

“Kepala dan tangan cik terseliuh. Nak tak nak, saya perlu angkat cik masuk ke dalam kereta. Kita perlu ambil langkah berhati-hati sebelum sakit cik makin melarat.” Thufaila terus terdiam bila mendengar jawapan ringkas dari Ahmad. Mahu tidak mahu dia tetap perlu merelakan tubuhnya diangkat.

THUFAILA gemuruh. Hati diserang debaran tatkala hujung matanya sipi-sipi memerhatikan wajah Ahmad yang berdiam ketika memandu. Mereka langsung tidak memulakan perbualan. Sedikit kecewa kerana tidak dapat meluangkan masa bersama lelaki itu dengan baik. Sejenis manusia seperti Ahmad membuatkannya merasa janggal. Tidak tahu mahu memulakan perbualan terlebih dahulu.

“Awak nak saya hantar ke klinik swasta atau kerajaan?” Ahmad bertanya spontan. Thufaila terkejut. Liur ditelan terasa pekat. Acuh tak acuh memandang wajah Ahmad.

“Kerajaan. Murah sikit.” Dia menjawab nada mendatar.

“Tak apa, saya hantar ke klinik swasta. Tak perlu awak nak menunggu lama.” Ahmad menjawab senada. Mata masih memandang ke depan. Sikit pun dia tidak menoleh memandang Thufaila.

“Alamak, saya tak bawa duit lebih. Saya ada lima ringgit je dalam poket. Beg duit tertinggal ni.” Bibir memuncung sedepa. Sisi kepala digaru perlahan.

“Tak apa, saya boleh gunakan duit saya.” Ahmad menawar diri.  Thufaila teragak-agak mahu menerima pelawaan itu. Namun, dia perlu juga menerimanya kerana tidak mahu melihat wajah Ahmad yang kosong sedari tadi.

“Baik, nanti saya ganti semula.” Thufaila angguk kepala.

“Tak payah ganti. Saya belanja.” Laju Thufaila menoleh memandang Ahmad. Bibir melopong besar.

“Eeh, awak nak belanja saya dah kenapa pula?”

“Sedekah tu amalan mulia. Tak salah rasanya kalau saya nak bersedekah.” Tergelak kecil mendengar penjelasan ringkas Ahmad.

“Senyuman pun satu sedekah. Apa kata, awak senyum sikit.” Dia melebarkan senyuman. Ahmad yang mendengar hanya mengerling dari hujung mata. Dia masih tayang wajah tak beriak.

“Awak tak mahu senyum ke?” Ahmad masih diam kaku. Dia tidak memberi sebarang reaksi.

Aduhai, mamat ni kayu betul.

Komen (1)
goodnovel comment avatar
RED SCARLET
sgt mnarik....
LIHAT SEMUA KOMENTAR

Bab terkait

Bab terbaru

DMCA.com Protection Status