Share

BAB 8

ATHUF tersengih seperti kerang busuk bila Mak Awe menghulurkan bekal makanan kepada kakaknya Thufaila. Dia yang berdiri di hadapan pintu sudah memasang telinga untuk mendengar perbualan Mak Awe bersama kakaknya.

“Susah-susah aje Mak Awe masakkan makanan untuk kami. Saya ni dah boleh masaklah Mak Awe,” tutur Thufaila sopan. Tidak menyangka wanita itu sanggup berjalan kaki semata-mata mahu menghantar bekal. Rajin sungguh.

“Jimmy beria-ia suruh mak sediakan lauk ni untuk kamu. Dia kata kaki kamu terseliuh teruk sebab itulah dia nak Mak Awe sediakan makanan untuk kamu adik-beradik.” Pipi Thufaila memerah menahan malu.

Alahai, kenapalah Mak Awe ni baik sangat? Jimmy tu pun dah kenapa beria-ia sangat suruh Mak dia masakkan makanan untuk aku?

“Kaki saya ni dah sembuh dah. Kaki ni terseliuh hari khamis minggu lepas. Bengkak pun dah surut dah Mak Awe,” jelas Thufaila perlahan. Dia tidak mahu wanita itu susah kerananya.

“Oh, terseliuh minggu lepas ke? Mak Awe ingatkan baru terseliuh. Semalam Jimmy tu sanggup berlari-lari sebab dia dapat tahu yang kaki kamu tu terseliuh,” sambung Mak Awe lagi. Hati Thufaila mula berdetak laju. Semerta anak matanya mengerling ke arah Athuf. Dia yakin Athuf yang memberitahu Jimmy tentang halnya.

“Maafkan saya. Kasihan Mak Awe terpaksa masak semua ni.” Thufaila yang rasa serba salah. Tangannya sudah memaut pergelangan Mak Awe.

“Untuk bakal menantu mak yang cantik ni, semuanya boleh.” Wanita tua itu tersenyum manis.

Gulp...

Thufaila sudah menelan liur yang bagaikan tersekat di bahagian kerongkong. Pahit aje rasanya.

Tapi aku tak mahu jadi menantu Mak Awe.

Mungkinkah wanita ini masih berharap yang dia akan menerima ASP Jimmy masuk ke dalam hatinya? Sekali dia dah buang aku, sampai mati aku takkan berpatah kembali!

ATHUF sudah mencebik bibir bila terpaksa memasang telinga mendengar bebelan kakaknya. Mulut macam betih jagung betullah! Langsung tak berhenti nak bercakap dari tadi.

“Kalau apa-apa hal yang berlaku dekat kakak, tolonglah jangan nak disampaikan dekat mafia tu. Akak tak suka. Akak pun tak suka kalau kau terlalu rapat dengan dia tu!”

Thufaila tidak suka jika kisah hidupnya diceritakan kepada lelaki itu. Dia juga tidak suka jika adiknya bertemu ASP Jimmy jika tiada hal yang memaksa.

“Salah ke Athuf nak beritahu Abang Jimmy tentang hal akak? Athuf beritahu dia sebab nak tengok yang dia tu betul-betul ke sayangkan akak.” Berkerunyut dahi Athuf memerhatikan kakaknya. Kemudian, dia senyum segaris. Tawar dan canggung.

Perlukah Thufaila menghalangnya untuk menjalin hubungan rapat bersama ASP Jimmy? Thufaila tiada hak untuk menentukan hidupnya.

“Akak tak sedar ke yang Abang Jimmy tu sanggup buat apa saja demi akak.” Thufaila pandang Athuf dalam-dalam. Tubir mata berkaca-kaca menahan hiba.

Mencuba sejuta kalipun untuk mengambil hatinya, Thufaila tidak akan berpatah kembali untuk menyerahkan hati kepada lelaki itu.

“Akak memang bencikan dia dan hati akak ni tak akan pernah terima dia. Mata akak ni memang dah dibutakan untuk lihat kebaikan dia. So, kau tak perlu try hard untuk buktikan yang dia tu baik!”

Hampir terpasung suaranya di tengah anak tekak. Memori lama menujah kembali. Dada terasa berat dan jiwa menjadi semakin membara dengan perasaan marah.

“Kalau ia akak bencikan Abang Jimmy sebab dia pernah malukan akak zaman sekolah dulu, tak akan kebencian tu akak perlu hadap seumur hidup? Bagus sangat ke akak tanamkan kebencian seumur hidup akak?” Athuf melempiaskan perasaan marah di hadapan Thufaila. Tidak tahan melihat ego Thufaila yang semakin menggunung.

Ah, Thufaila tidak akan pernah berasa tenang selagi memori perit itu tidak lenyap.

Manusia tak akan faham masalah seseorang selagi mereka tidak berada di tempat tersebut.

“Akak nak keluar pergi Ninso kejap.” Thufaila meminta diri. Tidak betah mahu meneruskan topik perbualan bersama Athuf.

Takut hati makin terluka.

“ADUIH, boleh pula kereta ni rosak dekat jalan. Petir dah menyambar ni. Aku dahlah tak tahu pasal kereta. Ya Allah, tolong permudahkan segala urusan aku.” Thufaila mula resah gelisah.

Hari semakin gelap, menandakan hari nak hujan. Dia pula masih mencari jalan untuk memikirkan siapakah gerangan yang perlu dia hubungi.

“So, if anything happens just call my name!”

Tiba-tiba …

Terngiang-ngiang kata-kata itu di telinga. Semakin lama semakin kuat lantunannya. Suara itu. Suara Jimmy.

Ahhhhh! Kenapa aku teringatkan ayat tu? Thufaila mendesis kasar.

Patutkah dia meminta bantuan dari lelaki itu? Perlukah hal ini diketahui Jimmy?

“Tak mungkinlah aku nak minta tolong dia.” Thufaila menjulingkan mata ke atas.

“Sampai ke mati pun aku tak boleh minta tolong dia walaupun aku berada dalam kesusahan. Kalau aku minta bantuan dia, mesti dia akan rasa yang aku ni memerlukan dia dalam hidup aku.”

Thufaila menggelengkan kepala berulang kali. Walaupun berada dalam kesusahan, dia tak akan sesekali meminta bantuan dari insan bernama Khairun Najmi. Thufaila lebih rela menanggung sengsara dalam kepayahan daripada dia berasa segan kerana memerlukan pertolongan.

Haaa, Ahmad! Aku boleh minta tolong jiran sebelah. Aku lebih rela minta bantuan dari Ahmad berbanding dia.”

AWAK sejuk? Kalau sejuk awak pakai jaket saya ni dulu.” Laju tangan Ahmad menyarung jaket ke tubuh Thufaila. Baru saja pulang dari membeli barang, tubuh Thufaila sudah basah lencun dek kerana hujan lebat yang turun membasahi bumi.   Mujurlah Ahmad datang segera selepas dia menghubungi si jejaka.

“Eh, tak apalah, saya okey je. Kalau awak sarungkan jaket ni dekat tubuh saya, nanti awak pula yang kesejukan.” Thufaila tidak mahu Ahmad yang menggigil kesejukan kerananya.

“Tak apalah sekurang-kurangnya saya tak basah kuyup macam awak,” ujar Ahmad meleret.

“Kita duduk dekat kafe dulu sementara nak tunggu hujan berhenti.” Thufaila terpempan. Diperhatikan wajah Ahmad yang masih berkaca mata hitam walaupun dalam keadaan hujan.

Jiwa semakin aneh memikirkan sikap lelaki itu.

“Hujan-hujan pun awak pakai cermin mata hitam dah kenapa? Ni bukan musim panas.” Selamba Thufaila bertanya tanpa bertapis. Dia hanya mahukan jawapan sebenar.

Ahmad memiliki sepasang mata yang cantik, seharusnya dia menonjolkan saja pandangan matanya yang bersinar bak bulan purnama.

“Jom minum kopi dulu sementara tunggu orang datang ambil kereta awak.” Ahmad menukar topik perbualan. Tidak berminat mahu menjawab soalan dari Thufaila.

Saat mereka melangkah masuk ke dalam kafeteria, Thufaila segera memeluk tubuhnya yang makin kesejukan. Terketar-ketar bibir dibuatnya. Tangannya tampak pucat dan berkedut. Melihat keadaan Thufaila begitu rupa, Ahmad segera mencapai kotak tisu yang tersedia di atas meja makan untuk menutupi pergelangan tangan yang kebasahan.

“Awak buat apa ni?” Thufaila terkejut melihat tindakan Ahmad.

“Saya nak pastikan tangan awak tu kering supaya suhu sejuk tu berkurangan,” tutur Ahmad bernada prihatin.

Jiwa Thufaila disapa perasaan terharu.

“Nanti staf kedai ni marah pula kalau awak ambil tisu banyak-banyak.” Thufaila memandang sekeliling.

Diorang tak akan marah saya.”

“Kenapa pula? Macamlah awak owner kedai ni.” Thufaila sedikit keliru. Sisi kepala digaru perlahan. Ahmad hanya memandang tanpa riak.

HAMPIR dua jam mereka berteduh di kafeteria dan makan bersama, akhirnya mereka pulang ke rumah. Ahmad menghentikan kereta betul-betul depan pintu rumah Thufaila Ajwa. Saat Thufaila mahu melangkah keluar dari perut kereta, dia perasankan ASP Jimmy berdiri di hadapan pintu rumah Ahmad.

“Kau dengan Thuffahun ni keluar date ke?” ASP Jimmy menyoal nada sebal. Diperhatikan reaksi Thufaila yang terkejut dengan kehadirannya.

“Haah, kenapa?” Thufaila membalas laju. Lidah Ahmad terkelu. Tidak mampu menidakkan jawapan si gadis.

“Oh, sejak bila pula korang bercinta ni?” ASP Jimmy cuba sembunyikan perasaan hampa. Dia pura-pura tersenyum gembira walaupun jiwa disapa duka.

“Engkau ni memang sejenis tak ada rumah ke? Sibuk je datang rumah Ahmad dengan berpakaian uniform polis. Engkau ni mesti sengaja nak tunjuk dekat orang setaman ni yang kau anggota terhebat, kononnya.” Thufaila mencerlung tajam ke arah ASP Jimmy. Lain yang ditanyakan, lain pula yang Thufaila bicarakan.

‘Dahlah tadi aku bergaduh dengan Athuf disebabkan dia. Sekarang ni dia menempel dekat rumah aku pula!’ hati mengomel geram.

“Faila … tak baik cakap macam itu.” Ahmad terkejut melihat cara Thufaila melayan ASP Jimmy. Tidak menyangka cara layanan Thufaila terhadap lelaki itu seolah-olah mereka musuh.

“Aku tanya ni, sejak bila korang bercinta?” ASP Jimmy melaung kuat. Suaranya tiba-tiba keras. Ahmad tersentak melihat wajah si kawan yang semakin memerah. Liur ditelan kasar.

“Eh, mana ada …” Ahmad cuba menyangkal, tetapi Thufaila segera mencantas.

Thufaila kemudiannya mengherot senyuman menyenget. Penuh makna. Pandangan mata ASP Jimmy silih berganti.

“Sejak kitorang berkenalan. Kau tak payah tanya banyak-banyak boleh tak? Jangan nak buat orang rimas.” Hujung mata menjeling setelah menjawab segala persoalan.

Thufaila sengaja menipu. Air muka ASP Jimmy semakin keruh. Diperhati lama wajah Ahmad di depannya. Tegak saja posisinya berdiri.

“Dah ada ke barang yang aku minta tu?” Ahmad yang perasankan wajah ASP Jimmy berubah marah segera mengubah topik perbualan. Tidak mahu situasi menjadi tegang. Tidak mahu ASP Jimmy menimbulkan persoalan yang lebih membebankan minda untuk menjawabnya.

“Ada. Aku lupa pula yang aku simpan pendrive kat ofis.” ASP Jimmy menyelup seluar untuk mengeluarkan pemacu pen yang dibawa dari tempat kerja.

“Oh, terima kasih. Nanti lepas kerja aku dah selesai aku akan kasi semula benda ni dekat kau.” Pemacu pen bertukar tangan. Ahmad bersyukur kerana memiliki jiran yang memudahkan kerjanya.

“Tak payahlah. Pendrive ni memang aku tak guna pun. Dalam ni cuma ada dokumen lama kes sepuluh ke dua puluh tahun lalu. Aku dah save dekat e-mel. Kau boleh je delete semua maklumat ni.”

ASP Jimmy merasakan dokumen yang terkandung di dalam pemacu pen itu tidak berguna lagi buatnya. Dia sudah selesai mengkaji dan fahami setiap kes lama yang diminta oleh pihak atasan untuk dibaca.

Kes yang lama bukan lagi urusannya.

“Eh, dokumen polis bukan sulit ke?” Ahmad bertanya hairan. Bibir melopong sedikit.

“Aku percayakan kau Ahmad. Tak apa, kau tolong delete kan.”  Tangannya diangkat menyentuh bahu Ahmad. Thufaila di sebelah hanya mencemik bibir.

“Faila … awak tunggu apa lagi dekat sini? Awak nak melepak dengan kami ke sampai tercegat dekat sini?” Ahmad kurang selesa jika Thufaila masih berdiri bersama mereka.

“Oh, awak tak mahu wish goodbye ke dekat saya?” Thufaila selamba membuat permintaan di hadapan Ahmad yang berwajah polos. Ternaik kening Ahmad mendengar permintaan itu. Sesekali, dia menoleh pandang ke arah Jimmy.

“Perlu ke?” teragak-agak Ahmad menyoal. ASP Jimmy meledak tawa bila mendengar perkataan reject dari Ahmad.

“Perlulah. Kitakan baru keluar sama?” Wajah Thufaila memerah menahan malu. Ahmad terpempan. Dia hanya terdiam.

Good bye dear. If anything happens, just call my name.

ASP Jimmy bersuara tiba-tiba. Sengaja dia merapatkan bibir di sebelah cuping Thufaila sambil tersenyum.

“Aku tak suruh kau wish pun.” Thufaila beriak hampa. Orang lain yang diharapkan, orang lain pula yang menyibuk.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status