Share

BAB 2

ARGH, saya ingatkan Razlan Ishak tu dalang dalam kes ini. Rupanya ada lagi penyangak yang terlepas. Kenapa dia tak mahu beritahu kita siapa dalang yang sebenar? Setakat cerita ada orang upah dia, tapi tak mahu sebut nama lebih baik tak payah!”

ASP Jimmy melempiaskan geram di hadapan rakan sepasukannya. Rupanya masih ada lagi penjenayah yang melepaskan diri.

“Tuan sibuk sangat tumpukan sepenuh perhatian kepada dia sampai Pendapat orang lain sikit pun tuan tak mahu dengar.” Selamba Inspektor Mastura menempelak.

“Saya dah agak yang Razlan Ishak tak buat kerja ini seorang diri. Mesti ada orang lain yang arahkan dia untuk menjalankan kegiatan jahat ni. Saya dah pernah handle kes yang lebih kurang sama dengan kes ini dulu.”

Koperal Raju bersuara pula. Masing-masing jeda buat seketika. Kes kali ini memerlukan akal yang panjang untuk membuat andaian dan spekulasi.

“Kes ini masih belum selesai selagi kita semua belum dapat tangkap dalang di sebalik kes ini.” ASP Jimmy mengetap bibir. Pandangannya mula dihalakan ke arah dinding kosong. Serabut.

Kebanyakan kes mampu ditumpas dengan bantuan dan carian bukti yang kukuh. Tapi kali ini, kes pembunuhan yang melibatkan Razlan Ishak benar-benar misteri. Bukti yang sedia ada pun belum tentu mampu menumpaskan dalang sebenar ke muka pengadilan selagi mereka tidak menemui bukti terperinci dan juga identiti sebenar suspek yang dicari.

Pembunuhan bersiri menggunakan alatan mekanikal itu membuatkan ASP Jimmy terpaksa bekerja keras supaya penjenayah kejam begitu tidak terlepas lagi.

Aduih, banyak pula masalah. Lepas satu hal datang lagi satu hal lagi yang muncul. Banyak lagi kes jenayah yang kita nak handle, tapi disebabkan kes ni terlalu rumit, kita pula yang jadi susah!” ASP Jimmy menyambung bicara dalam keluhan. Rahangnya bagai melurut jatuh melepaskan segala emosi yang sudah menjadi satu.

Bulan ini adalah bulan paling sibuk buatnya. Tak cukup rehat dan tak cukup tidur membuatkan badannya semakin lemah dan hilang fokus. Emosi juga terganggu dan menyebabkan dia mudah marah.

“Saya akan laporkan hal ini kepada Ibu Pejabat Subang Jaya. Saya berharap Tuan Jimmy tak tukar pelan saat-saat akhir seperti malam tadi,” beritahu Inspektor Mastura. Sempat dia menyinis.

“Dah nak masuk waktu subuh pun awak masih nak pertikaikan kerja saya ke? Apa hak awak untuk pertikaikan pelan dari orang atasan awak? Anggota polis di IPD ni pun tak pernah pertikaikan kerja saya! awak orang baru di unit kami, jadi tolong hormati saya sebagai Tuan Jimmy. Saya bukan adik-adik awak yang boleh di tegur sesuka hati.” 

ASP Jimmy hilang sabar. Suaranya sedikit meninggi. Dia tidak suka cara Inspektor Mastura berterus-terang. Caranya sangat sinis berkata-kata.

“Kalau orang atasan lakukan kesalahan, tak akan pihak bawahan tak boleh tegur? Tuan Jimmy tak boleh terima kenyataan ke yang Tuan Jimmy pun ada kekurangan?” sindir Inspektor Mastura dengan nada sinis.

Inspektor Mastura tidak hiraukan siapa saja di hadapannya. Jika dia merasa seseorang itu menyusahkan orang lain, dia tidak teragak-agak untuk menghamburkan ketidakpuasan hati.

“Awak jangan nak kacau mental saya pagi-pagi ni boleh tak? Saya penat ni. Awak jangan nak buat perangai tak matang awak dekat sini!” Turun naik dada ASP Jimmy menggetus geram.

Siapa saja yang tidak terganggu emosinya, jika tiba-tiba ada makhluk yang sibuk memprovokasi tentang sesuatu hal yang menyakitkan segenap hati?

Semak otak.

“Tuan tak sedar ke mental kita orang terganggu disebabkan tuan?” Inspektor Mastura dongak wajahnya lebih tinggi agar lebih selesa menghadap wajah ASP Jimmy.

“Saya rasa kerja saya dah selesai, jadi saya pergi dulu.” Inspektor Mastura berbisik di celahan tawa. Bibirnya benar-benar dirapatkan ke cuping telinga ASP Jimmy, hingga desis nafasnya kedengaran. Kemudian, dia memusing tubuh untuk melangkah pergi.

“Kalau awak berambus dari tadi lagi baguslah!”

ASP Jimmy tidak mahu mengalah. Dia melaung kuat melempiaskan perasaan marah. Inspektor Mastura menoleh Kembali memandang wajah sang jejaka. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri ASP Jimmy sambil bibir melukis senyuman penuh makna.

“Kenapa bagus pula? Tuan tak sanggup nak menghadap perangai orang bawahan tuan yang lantang bersuara ke?” kening belah kanan dijongket tinggi. Inspektor Mastura mendongak kepalanya sedikit agar lebih bebas menatap ke dalam mata ASP Jimmy.

“Ini bukan lantang bersuara. Tetapi ini biadab!” Wajah ASP Jimmy merah padam. Tangan dikepal menahan marah. Rasa sakit hati bila orang bawahan senang-senang saja menuding jari terhadapnya.

“Saya rasa saya bercakap penuh adab. Saya tak ada pula memaki hamun tuan, tengking pun tidak. Sekarang ni tuan yang tengking-tengking saya macam nak terkeluar anak tekak tu. So, siapa yang biadab sebenarnya?” Inspektor Mastura tidak pernah tahu erti kalah. Dia sentiasa panjang akal untuk mencari jawapan balas.

“Awak jangan nak mencabar kesabaran saya Mastura!” tawa Inspektor Mastura tiba-tiba terletus. ASP Jimmy dan beberapa anggota di situ sedikit aneh memandang satu-satunya depan mereka.

“Kalau saya kata yang saya memang nak mencabar tuan, agaknya tuan percaya tak?” Matanya dan ASP Jimmy saling bertatapan. Jiwa Mastura semakin berani untuk memprovokasi ASP Jimmy.

“Perempuan gila.” ASP Jimmy menggetus, lantas berlalu pergi meninggalkan anggota yang lain. Hanya itu jawapan yang terlantun keluar dari bibir. Jiwanya terlalu marah sehinggakan dia merasa tidak betah untuk berlama-lama di situ.

“MACAM mana Inspektor Mas boleh beranikan diri untuk tegur Tuan Jimmy? Dia tu antara anggota paling bengis sekali dalam unit kami. Semua orang tak berani nak bangkang setiap perancangan yang telah dia rancangkan. Tuan Jimmy juga tak suka bila ada seseorang yang sibuk mempertikaikan kerja yang dia lakukan,” jelas Koperal Raju selamba. Inspektor Mastura yang berjalan di samping Sarjan Munir dan Koperal Raju mula tayang wajah cemberut.

Tak suka orang pertikaikan kerja yang dia lakukan?

Mungkin dia menganggap apa yang dilakukan tidak perlu dikritik.

Lelaki itu ego dan meninggi diri. Lelaki itu memang pentingkan diri!

“Bengis dan berlagak. Dia punya arrogant tu tak bertempat. Saya sebenarnya tak suka bekerjasama dengan manusia macam dia. Suka ikut kepala sendiri dan tak reti nak ikut etika kerja yang sebenar. Pasukan ni dah cukup kelam-kabut untuk selesaikan satu per satu kes. Jadi dia perlu membuat sesuatu perkara mengikut apa yang dirancang, bukannya ikut kepala dia saja!”

Inspektor Mastura berterus-terang. Dia yakin bahawa rakan sepasukan yang lain pun kurang gemar dengan sikap lelaki bernama Khairun Najmi atau lebih dikenali sebagai Tuan Jimmy.

Apa yang dikatakan oleh Inspektor Mastura benar belaka. Pasukan bawahan ASP Jimmy sudah cukup kelam-kabut kerana kekurangan orang. Macam-macam yang perlu mereka lakukan dan bermacam perangai yang perlu mereka hadap. Jadi mereka perlu lebih peka dalam merancang sesuatu strategi.

“Kita sebagai rakan seperjuangan, kita tak boleh bersikap dingin sesama sendiri. Kegagalan dalam sebuah pasukan akan terlahir bila ada dikalangan ahli tak percayakan rakan sepasukan yang lain. Puan Mastura pun tak boleh pertikaikan kerja Tuan Jimmy. Dia dah berkhidmat dalam unit ini selama lapan tahun. Jadi dia dah tahu apa yang perlu dia lakukan untuk tumpaskan penjenayah. Kita sebagai rakan sekerja hanya perlu yakin dengan setiap hal yang dia lakukan,” suara Sarjan Munir seolah-olah mahu membela ASP Jimmy.

Sedikit aneh dengan sikap Inspektor Mastura yang lebih suka mencari kesalahan berbanding membuka luas pandangannya untuk mencari sudut positif dari pihak ASP Jimmy.

“Tak dinafikan yang dia tu di antara anggota polis contoh buat kita semua. Tapi sekali-sekala dia juga perlu menerima pendapat dari orang lain. Dia tak boleh merasakan diri dia sempurna.” Inspektor Mastura menggigit bibir bahagian bawah.

Sarjan Munir mencebik bibir.

“Kalau puan rasa tak selesa untuk berikan kerjasama dalam pasukan ni, puan boleh beritahu pihak atasan tentang hal ni. Saya tak suka dengar kompelin yang bukan-bukan tentang Tuan Jimmy.” Sarjan Munir menjeling kepadanya. Kemudian, lelaki separuh abad itu melepaskan nafas berat.

“Huh, salah ke saya berikan pendapat saya sendiri? Kenapa sarjan sibuk nak membela orang yang salah?” Inspektor Mastura menengking geram. Dia bukanlah seorang yang penyabar.

“For now, let's stop talking about him,” tutur Koperal Raju laju. Dia tidak mahu masing-masing menjadi dingin kerana insan bernama Jimmy.

“Saya akan buktikan yang ASP Jimmy memang seorang yang pentingkan diri dan dia hanya pergunakan kita untuk mendapat nama.”

Sarjan Munir terus mengatur langkah meninggalkan Inspektor Mastura setelah mendengar penegasan yang agak menjengkelkan. Tidak mahu menerima aura negatif, pagi-pagi begini.

“APA lagi yang Inspektor Mastura nak buktikan tentang Tuan Jimmy? Dia nampak menyampah sangat dengan tuan. Apa yang tuan dah buat dekat dia sampai dia asyik nak membangkang cakap tuan?”

Sarjan Munir menjongket kening ketika bertanyakan hal Inspektor Mastura kepada ASP Jimmy. Lelaki itu sempat melepas nafas berat. Sesekali, lidah menjilat bibir bahagian bawah yang terasa kering.

“Saya pun tak tahu apa salah saya, sarjan. Dia tu memang suka cari salah saya walaupun saya tak tahu apa kesalahan saya. Dia tu sejenis perempuan yang cepat insecure dengan kejayaan orang kut?” 

ASP Jimmy membuat andaian sendiri. Mata yang terasa gatal digosok menggunakan jari telunjuknya.

Jauh di sudut hati, dia sendiri sahaja yang tahu mengapa Mastura jadi begitu. Namun, dia tidak mahu menceritakan hal tersebut kepada Sarjan Munir.

Tak akan aku nak aibkan diri sendiri?

“Tuan jangan bergaduh sangat dengan Inspektor Mastura tu, nanti tak pasal-pasal dia jadi jodoh tuan pula.” Sempat Sarjan Munir memberi pesanan. Bibir menguntum sengihan.

Walaupun tubuh badan mereka terasa lemah pagi-pagi begini, Sarjan Munir sempat lagi menyakat ASP Jimmy yang berwajah bengis itu.

“Dia jodoh saya? Tak mungkinlah. Saya dengan dia tu ibarat langit dengan bumi. Perangai dia ke selatan, perangai saya ke utara.” Tawa terletus mendengar pesanan berbaur peringatan dari sarjan.

“Orang kata kalau kita gaduh-gaduh, nanti boleh jadi sayang.” Sarjan Munir saja menyakat. Sisa senyum masih terhias di wajah ASP Jimmy.

“Saya ni dengan jiran dekat kawasan rumah saya tu pun selalu bergaduh. Kami berdua ni macam anjing dengan kucing dah, tapi dia lah yang anjing tu. Hahahah.” Spontan ASP Jimmy bercerita. Kemarahan berkurang bila terkenangkan Thufaila Ajwa.

Bibir manis tersenyum terbayangkan wajah itu.

“Uish, tak sangka pula saya yang tuan ni banyak bertikam lidah dengan perempuan. Tapi biasanya kalau bergaduh dengan perempuan, memang lelaki je yang kena mengalah. Sebab perempuan ni asyik nak menang je.” Sarjan Munir membalas nada terhibur. Pantas ASP Jimmy mengangguk.

“Saya dengan jiran saya tu, gaduh hari-hari tapi kami berdua tak berkahwin pun. Tapi kalau saya berkahwin dengan jiran saya tu, memang bahagia hidup saya.” ASP Jimmy tersengih-sengih bila mata terbayangkan wajah si gadis idaman.

Tiada orang lain yang mampu memikat hatinya selain gadis itu.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status