Share

Under The Dark Mist (Bahasa Malaysia)
Under The Dark Mist (Bahasa Malaysia)
Author: KenHendri Writter

Prolog

Langkah kaki terhenti di pintu pagar sekolah. Mata mereka terlopong luas. Fikiran mereka diserang pelbagai persoalan. Tanda tanya bermain di minda. Ada yang ketakutan. Ada juga yang bingung dengan keadaan. Waktu itu, hanya mereka sahaja yang ada di sekolah. Perbincangan aktiviti kelab berubah menjadi perbincangan akan sesuatu yang di luar jangkaan.

Persoalan yang sentiasa terdetik di hati mereka; apa yang sedang terjadi? Mengapa ianya berlaku? Apa yang sedang dilihat? Di bawah langit yang mendung. Angin kencang seakan-akan ingin ribut. Mata mereka hanya terarah kepadanya. Di seberang jalan raya, ianya menenggelami kawasan perumahan. Di seluruh perkampungan, ianya menggelami kawasan sekitar sekolah.

Waktu itu, mata mereka hanya tertumpu ke arah kabus gelap yang seakan-akan awan mendung. Ianya sangat tebal sehingga menutupi seluruh permandangan di sekitar sekolah. Bahkan, langit juga tidak terlihat kerana ditenggelami kabus itu. Hanya kawasan sekolah yang masih terselamat. Mereka sedar yang mereka tidak boleh tinggal selamanya di sekolah sebagai tempat untuk hidup. Mereka perlu keluar tetapi apa yang ada di bawah kabus yang gelap?

Semua persoalan ini bermula selepas tamatnya sesi persekolahan pada tengahari tadi.

Ketika itu, Ahli Jawatan Kuasa Kelab Pembimbing Rakan Sebaya sedang mengadakan suatu perbincangan akan masalah disiplin di sekolah. Hanya lima orang yang memiliki jawatan terpenting dalam kelab sahaja. Sudah menjadi kebiasaan mereka pulang lewat di saat semua guru dan pelajar sudah ke balik ke rumah. Pengawal keselamatan juga sudah faham dengan mereka.

Di meja bulat, menghadap antara satu sama lain, agenda dimulakan. Perbincangan akan masalah buli di sekolah sudah semakin parah. Itulah yang dikatakan oleh Fikri, ketua Kelab Pembimbing Rakan Sebaya. Lelaki berambut gelap, berkulit cerah berkening tebal itu memandang serius akan isu tersebut. Bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali dia menerima aduan daripada pelajar akan kejadian buli. Namun, apa yang menghairankannya, mangsa buli tidak pula bersuara. Bahkan, dia sentiasa mengelak apabila bertemu dengan Fikri.

Kes yang kedua pula ialah kecurian. Sejak seminggu yang lalu, Shiro iaitu penolong ketua mendapat aduan ini daripada kebanyakan pelajar. Bukan barangan sekolah yang hilang tetapi wang saku. Sudah disiasat tetapi tidak menemui pula si pelaku. Mungkin pelakunya sangat licik dan bijak dalam membersihkan bahan bukti. Lelaki bermata lebar dan berhidung mancung itu sudah berjanji dengan para pelajar untuk menangkap si pelaku dengan segera sebelum kes kecurian menjadi lebih teruk.

Setiausaha kelab iaitu Hara, seorang gadis cantik, berkulit cerah itu sedia mencatat semua perkara penting dalam perbincangan. Dia tidak dilantik sebagai setiausaha jika tidak tajam akal. Telinganya bagaikan perakam suara, dapat menangkap dan mengingati setiap bait kata. Sudah tentu gadis secantik itu menjadi kegilaan ramai lelaki di sekolah tetapi sifat Hara berlawanan dengan kecantikannya. Dia nampak sahaja ayu dan sopan tetapi dia seorang yang tegas dan garang.

Hara selalunya dibantu oleh Wani yang juga merupakan penolong setiausaha. Kadang-kadang, ada sahaja perkara yang terlepas di telinga Hara, berjaya ditangkap oleh Wani. Gadis pendek yang berketinggian hanya 159 sentimeter itu selalu diejek oleh Ren, bendahari kelab. Bukan sekali malah sudah berkali-kali dia dipnggil dengan panggilan ‘pendek’ oleh Ren.

Ada sahaja hal yang ditimbulkan oleh Ren yang membuatkan ahli kelab yang lain naik angin terutamanya Wani. Pernah sekali dia menggunakan tabung kelab untuk membeli permainan video dalam talian. Nasib baiklah dia sudah ganti. Kadang-kadang, Fikri bingung dengan cikgu Fawis, mengapa Ren yang juga merupakan bekas ‘pembuli’ itu disuruh untuk menyertai kelab. Sehingga sekarang, guru kelab PRS itu tidak menjawab.

“Sudah habis ke? Aku nak balik pula. Tak tenang aku main permainan video di sini. Sudah la talian tersangkut-sangkut. Kalau di rumah aku ni sudah lancar macam sabun. Sabun pun menang rasanya,” rungut Ren. Sejak perbincangan dimulakan, matanya hanya menatap skrin telefon.

“Jangan cakap permainan video yang kau beli pakai duit kelab haritu?” soal Wani dengan tegas.

“Sudah tentu. Kau ingat aku ada duit nak beli semahal itu?”

“Kau ni tak habis-habis dengan permainan video. Hebat sangat ke kau main?” soal Wani lagi.

“Kau pernah tengok aku main? Tak pernah kan? Sebab kau tak pernah nampak. Lupa pula yang kau ni pendek, macam mana nak nampak. Terpaksalah aku pandang ‘rendah’ kau. Rendah dan rendah.”

Wani mengetap gigi, geram. Dia mencubit bahu Ren sehingga lelaki itu mengerang kesakitan. Ren pula mengosok-gosok bahunya yang pedih. Ingin sahaja membalas tetapi dia masih waras. Tidak patut bertindak kasar terhadap perempuan apatah lagi menyentuhnya. Setakat ini, Ren tidak pernah membalas apa-apa yang dilakukan oleh Wani selain cakap mulut.

“Sudah pukul lima petang. Cikgu Fawis tak datang lagi ke?” soal Hara. Mereka sudah lama menunggu kedatangan cikgu Fawis sementara perbincangan akan kes yang berlaku di sekolah membunuh waktu. Tetapi, sehingga sekarang wajah lelaki itu masih tidak kelihatan.

“Mungkin dia lewat sikit. Apa-apapun, lebih baik kita kemaskan barang. Kalau cikgu tak datang juga, kita hubungi saja dia. Cakap yang kita sudah bersurai. Esok saja kita bagi laporan harini,” cadang Fikri. Cadangan itu dituruti oleh Shiro, Hara dan Wani. Ren pula masih asyik dengan permainan video di dalam telefon pintarnya.

Namun, wajahnya nampak marah. Tidak seperti biasa. Keningnya sudah menggambarkan yang kemarahannya sedang membuak-buak. Dia mendengus kuat sebelum bingkas bangun daripada kerusi. Kepala yang tidak gatal digaru laju. Nafasnya ditarik dan dihembus kencang. Kelakukannya hanya diperhati oleh rakan-rakannya. Kali ini, Ren nampak marah benar.

Siapa yang tidak marah, isyarat telefonnya tiba-tiba sahaja terputus. Permainan video yang dimainkan pula dalam talian. Sudah tentu dia membentak. Tatkala membuka tingkap, untuk mencari isyarat data, matanya terlopong. Kali ini, dia tidak berkelip. Sudah jelas, marahnya sudah hilang, diganti dengan kejutan.

“Hey, kalian. Cepat datang ke sini sekarang,” panggil Ren tanpa mengalih pandangan walau sedikitpun.

“Kau sudah kenapa, Ren?” soal Shiro dengan hairan.

“Datang sajalah!”

Tatkala suara Ren ditinggikan, Shiro dan lain mula mengikut arahan. Mereka berjalan ke arah Ren. Cuba mengetahui apa yang ingin disampaikan olehnya. Tetapi, Ren tidak perlu membuka mulut. Pandangan mata mereka sudah memberi jawapan. Shiro, Hara, Fikri dan Wani terkejut besar. Pada masa yang sama, mereka tertanya-tanya.

“Apa benda tu?” soal Wani.

“Itu awan gelap? Hujan lebat ke? Kalau hujan lebat, memang ianya datang ke sini,” soal Hara pula.

“Tapi, kita tak dengar pun bunyi hujan. Benda tu nampak macam kabus,” teka Fikri.

Shiro pula menelan air liur sendiri sebelum membuka mulut, “semakin dalam aku tengok kabus tu semakin aku tidak sedap hati. Ianya nampak macam bukan kabus biasa. Ianya sangat tebal. Ianya kabus yang gelap. Kita kena balik ke rumah sebelum apa-apa terjadi!”

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status