Share

Bab 1

Kabus tebal misteri mengelilingi kawasan persekolahan. Perkampungan di sekitar, hutan kecil dan kawasan perumahan sudah tidak kelihatan. Hanya kawasan sekolah yang masih terselamat. Cuaca pada waktu itu mendung membuatkan pandangan mereka seakan-akan keliru untuk membezakan awan mendung dan juga kabus tebal. Adakah ianya muncul secara tiba-tiba? Tidak ada yang menyedari kehadirannya. 

Kabus tebal itu bagaikan membawa berita buruk. Awan gelap diikuti dengan angin kencang membuatkan mereka terfikir bahawa itu hanya kejadian alam. Mungkin hari hendak hujan. Tetapi, adakah mereka pernah melihat kabus setebal itu? Kabus sebesar itu? Sudah tentu tidak pernah tetapi disebabkan mereka tidak pernah melihatnya, mereka menganggap ianya hanyalah kejadian alam yang ganjil.

Shahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Shiro mencadangkan agar mereka segera pulang ke rumah. Walaupun jalan sudah ditenggelami dan dikaburi kabus tebal, tetapi mereka perlu pulang ke rumah dengan segera. Tinggal bersama dengan keluarga. Itulah yang terbaik walaupun rancangan televisyen tidak pernah memberitakan ramalan kabus tebal yang akan melanda kawasan itu hari ini. Sudah tentu tidak ada yang menjangkakan kejadian aneh tersebut.

Lima orang pelajar terakhir yang berada di dalam blok sekolah segera turun ke garaj motosikal. Angin kencang membuatkan langkah mereka perlahan. Terpaksa mengumpulkan seluruh tenaga di kaki untuk berlari ke garaj motosikal yang berada di sebelah pondok pengawal keselamatan. Mata mereka terarah kepada kabus tebal. Ianya bagaikan awan mendung yang gelap di atas darat jika dilihat dari bawah.

“Macam mana aku nak balik? Aku nak hubungi ayah aku pun tak boleh. Tak ada isyarat!” rungut Wani sambil menekan-nekan mod kapal terbang, cuba mencari isyarat panggilan.

“Kau naik belakang aku. Biar aku yang hantar,” balas Ren. Dia yang sudah duduk di atas kusyen motosikal segera menghidupkan kenderaan itu.

Dengan terkejut Wani membalas, “tak boleh! Nanti apa pula yang ayah aku cakap nanti! Membonceng dengan lelaki pula tu. Dengan kau pula tu.”

“Kau nak balik ke tidak? Kalau kau tak nak, duduklah sorang-sorang di sini!” Ren membalas dengan nada tinggi sebelum membonceng motosikalnya, meninggalkan yang lain.

“Wani akan balik dengan aku. Ayah aku selalunya akan datang waktu macam ni. Aku sudah beritahu dia pagi tadi. Kalian, boleh balik. Apa-apapun, berhati-hati,” cadang Hara tanpa sempat Wani membuka mulut. Shiro dan Fikri hanya mengangguk faham. Motosikal mereka dihidupkan sebelum dibonceng. Dua gadis itu hanya melihat dua lagi rakannya pulang. Namun, jauh di sudut hati mereka mendoakan akan keselamatan. 

“Hey, kalian berdua. Cepat masuk ke sini. Ribut kuat sangat. Tak selamat kalian duduk di situ!” panggil seorang pengawal keselamatan yang berada di dalam pondok.

Tanpa teragak-agak, Hara dan Wani berjalan ke arah pondok itu. Mereka sudah mengenali Abang Jad, pengawal keselamatan itu sejak di tingkatan satu lagi. Lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu sangat baik dan peramah orangnya. Sudah tentu mereka berdua boleh manaruh kepercayaan kepada Abang Jad untuk berlindung di pondok buat sementara.

Pintu pondok jaga itu ditutup. Lampu dibuka. Wani dan Hara duduk di atas kerusi menghadap meja Abang Jad. Ruangan pondok itu hanya enam meter persegi. Ianya tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Cukup untuk dimuatkan meja, kerusi serta barangan keperluan jaga. Hara dan Wani melihat kabus tebal melalui tingkap di sebelah mereka. Itulah kali pertama mereka mengamati kabus itu.

“Abang Jad, kabus apa di luar tu? Tak pernah Hara tengok sebelum ni. Memang sebelum ni pernah terjadi ke?” tanya Hara kepada Abang Jad yang sedang asyik meneliti telefon pintarnya sejak tadi lagi. 

“Entahlah. Tak pernah pula abang tengok kabus macam tu. Tebal pula tu. Dah macam asap tebal. Nak kata jerebu, nampak lebih tebal daripada jerebu. Nak kata kabus pun, tak macam kabus biasa,” balas Abang Jad sambil menekan-nekan skrin telefon.

“Apa yang abang buat tu? Sejak tadi lagi duk tekan-tekan skrin telefon,” tanya Wani.

“Tengah cari isyarat ni. Nak telefon bini abang di rumah. Nak tahu keadaan dia. Tapi, tak dapat-dapat pula. Tak tahu pula kenapa isyarat telefon abang mati tiba-tiba.”

“Jangan cakap isyarat telefon abang, isyarat telefon wani pun tak ada. Dari tadi lagi Wani cuba telefon ayah tapi tak dapat-dapat.”

“Isyarat telefon Hara pun sama.”

Abang Jad bangun dari kerusi sebelum membuka televisyen seraya berkata, “pelik juga. Sebab waktu abang tengok TV tadi pun tiba-tiba siaran tergendala. Ribut agaknya. Tapi, tak pernah pula tengok ribut macam ni. Sampai isyarat panggilan pun tak ada. Selalunya, siaran TV saja yang tergendala.”

Wani menarik nafas dalam sebelum menghembus perlahan. Matanya sekali lagi menatap kabus tebal melalui tingkap sambil berkata, “entah apa yang terjadi sekarang. Aku risaukan keluarga aku. Aku harap, Shiro, Fikri dan Ren pun dalam keadaan baik-baik saja. Mereka ada di bawah kabus yang gelap sekarang ni.”

Shiro merempuh kabus tebal dengan penglihatan yang kabur. Semakin dalam dia melalui kabus itu, semakin kabur penglihatannya. Sudah jelas yang kabus itu semakin tebal. Hanya cahaya lampu hadapan motosikal sahaja yang menerangi jalannya. Tetapi, dia menyedari sesuatu. Kabus yang dianggap ‘kabus’ itu sebenarnya bukanlah kabus yang biasa. Jika kabus biasa, ianya sejuk. Tetapi, kabus ini hangat. Sudah berpeluh badan Shiro. Bahkan, kepalanya juga pening dengan bau yang tidak menyenangkan. Bau yang datang daripada kabus itu.

Setelah beberapa minit mengharungi kabus yang sangat tebal itu, akhirnya Shiro menapak di kampungnya. Dia turun menongkat motosikal sebelum berjalan ke arah rumah. Namun, matanya meliar ke kiri dan ke kanan. Kabus tebal membuatkan pandangannya semakin kabur. Entah kenapa matanya tidak menangkap walau satu susuk tubuh manusia pun. Laju dia berlari ke rumah sebelum memanggil nama ibu dan ayahnya. Tetapi tiada sahutan. Bahkan segenap ruang bilik rumah dimasuki tetapi tidak ketemu pula orang tuanya.

“Ke mana semua orang sudah pergi? Kenapa semua orang di kampung ni hilang? Tunggu! Sejak aku masuk ke dalam kabus ni, aku tak pernah jumpa sesiapa dalam perjalanan ke rumah. Apa yang terjadi sekarang ni? Dan … bau kabus ni pula buat aku rasa pening!” 

Shiro menutup hidung dan mulutnya dengan sapu tangan. Dia cuba bernafas dengan perlahan. Cuba menenangkan tubuhnya yang sudah pening sebelum kembali membuka mulut dengan sahutan yang lantang, “hey! Ada sesiapa tak? Mak! Ayah! Pak Su! Orang lain! Ada sesiapa tak?”

Panggilan itu hanya sia-sia. Telinganya hanya menangkap sepi. Ingin sahaja Shiro mengeluarkan air mata tetapi dia cuba menahannya. Telefon pintar dikeluarkan. Isyarat panggilan masih tiada. Rasa kehilangan di hati membuatkan dia sebak tetapi bau kabus yang sangat tidak menyenangkan itu membuatkan kakinya melangkah ke arah motosikal. Dia sudah tidak tahan. Dia perlu pulang semula ke sekolah. Perlu keluar daripada kabus yang gelap.

Sedang menunggu kedatangan ayahnya, bunyi motosikal dari luar memukul gegendang telinga Hara. Lekas dia membuka pintu kerana amat mengenali bunyi motosikal yang satu itu. Agak terkejut tatkala dia melihat Ren datang kembali ke sekolah. Wajahnya pucat. Nafasnya tercungap-cungap. 

“Kenapa kau datang balik Ren? Kenapa muka kau pucat?” soal Hara.

“Semua … semua orang hilang!” Satu jawapan daripada Ren membuatkan Hara, Wani termasuklah Abang Jad kebingungan.

“Apa maksud kau? Aku tak faham.”

“Masa aku balik ke rumah, semua orang tak ada! Semua rumah yang ada di bawah kabus tu kosong! Tak berpenghuni! Kereta pun terbiar di atas jalan tanpa pemandu! Satu lagi, bau kabus tu buat aku loya dan pening kepala!” Nafas Ren naik turun. Dia turun dari motosikal sebelum duduk terkangkang.

“Kau nak menipu lagi ke? Nak menakut-nakutkan kami? Macamlah aku boleh percaya sangat dengan cerita kau,” balas Wani yang masih ragu-ragu.

“Kalau kau tak percaya, kau pergi sendiri! Kau masuk ke dalam kabus gelap tu! Untuk apa aku tipu kalian? Habis minyak moto aku saja ulang-alik semata-mata nak menipu!”

Hara dan Wani terdiam seketika.

“Ni apa kes ni? Mohon bertenang. Tak baik tinggi suara dengan perempuan. Cuba cerita apa yang berlaku? Kamu masuk ke dalam kabus gelap tadi kan? Macam mana dengan keadaan di dalam sana?” celah Abang Jad membuatkan Ren bengang.

“Kan aku sudah cerita tadi! Ya Tuhan, mohon bertaubat! Kalian ni ada masalah kepercayaan!”

Pada waktu yang sama, Shiro dan Fikri tiba di pintu masuk sekolah. Kehadiran mereka membuatkan Hara dan Wani terkejut. Sudah tentu mereka datang membawa cerita yang sama. Nafas mereka juga naik turun. Wajah pucat serta pening. Seperti yang terjadi kepada Ren. Setelah mendengar cerita daripada Shiro, barulah mereka percaya. Tetapi, Shiro menasihatkan agar jangan sesekali masuk ke dalam kabus gelap itu. Ianya mungkin merbahaya.

“Sekarang ni, semua orang yang duduk di bawah kabus gelap tu sudah hilang?” soal Wani yang masih tidak dapat menerima kenyataan. Hatinya mula sebak teringat akan keluarganya.

“Kita tak tahu apa yang sedang terjadi tapi hilang tak bermakna mereka sudah tiada. Mungkin ada jawapan di sebalik kejadian ni.” Fikri bersuara dengan logik.

“Tapi, kalau kita tak boleh pergi ke dalam kabus tu, macam mana dengan rumah kita? Maksud aku, di mana kita nak tidur?” tanya Hara.

“Kita tidur saja di sekolah untuk sementara. Lagipun, di sini sudah ada kelengkapan. Abang Jad boleh jaga kita,” cadang Ren.

“Hey, tunggu sekejap! Kamu nak abang teman kamu bermalam di sini? Kerja abang sampai petang ni saja. Malam ni, orang lain pula.”

“Berapa kali kami nak cakap, semua orang yang ada di dalam kabus tu sudah hilang. Abang Jad faham ke tak? Mereka hilang entah ke mana. Jadi, tak ada lagi orang yang akan sambung tugas abang.” Shiro naik angin. Tinggi pula suara yang dikeluarkan. Siapa yang tidak marah, sudah banyak air liur dibazirkan untuk menceritakan tentang kejadian tadi tetapi jaga sekolah itu masih ragu-ragu.

Pada masa yang sama, datang sebuah kereta Proton Saga masuk ke kawasan sekolah. Kereta itu amat dikenali oleh ahli kelab Pembimbing Rakan Sebaya. Ianya ialah kereta salah seorang daripada guru pembimbing mereka dan juga merupakan pengasas kepada kelab tersebut. Kemunculannya mungkin memberi sedikit harapan buat mereka. Tetapi, cikgu itu tidak bersendirian. Kelihatan, ada dua orang pelajar di tempat duduk belakang. 

“Cikgu Fawis? Kami ingat cikgu pun hilang sama,” kata Fikri.

Cikgu Fawis keluar dari kereta dengan wajah yang serius diikuti oleh dua lagi pelajar yang berada di tempat duduk belakang kereta. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Ahli kelab langsung tidak mengenali dua orang itu selain cikgu Fawis sendiri. Tetapi sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk berkenalan antara satu sama lain.

“Tak Fikri, cikgu masih lagi selamat. Mulai hari ini, kita bermalam di sini untuk sementara sehingga cikgu kenal pasti asal usul kabus ni. Cikgu juga akan berusaha untuk cari orang-orang kampung yang hilang ditelan kabus tu.”

Comments (1)
goodnovel comment avatar
Little Human
aku plk yg cemas🤣🤣🤣
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status