Share

Bab 4

Kabus gelap dilihat sudah menutupi jalan di hadapan sekolah. Sunyi. Gelap. Tiada sebarang cahaya yang datang dari dalam kabus itu. Tiada sebarang bunyi juga yang kedengaran. Semua orang sudah ‘ditelan’. Tiada kereta yang lalu lintas seperti malam-malam biasa. Tiada perlumbaan motosikal yang selalu dilihat oleh orang awam. Dunia bagaikan terhenti. Penduduk bumi bagaikan sudah pupus. Satu-satunya kawasan yang masih bercahaya dan tidak ditenggelami kabus gelap hanya kawasan sekolah. 

Pencarian cikgu Fawis terhenti seketika apabila mereka bertemu dengan dua orang pelajar yang juga datang dari sekolah yang sama. Mereka ialah Yun dan Hendri. Yun merupakan rakan sekelas Kevin tetapi lelaki itu tidak begitu rapat dan jarang bercakap dengan Yun. Gadis itu tidak sedarkan diri dan dijaga oleh Wani di sebalik tirai pentas di dalam dewan. Dia dibawa pulang oleh Abang Jad menggunakan kereta cikgu Fawis. Namun, masih misteri kesan gigitan pada kakinya. Sudah tentu tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya berlaku kepadanya.

Hendri pula merupakan presiden Majlis Perwakilan Pelajar. Dia berusia sembilan belas tahun. Menurut ceritanya, dia yang baru sahaja menapak di halaman rumah pada petang tadi terkejut dengan kemunculan kabus gelap dari arah barat. Pada mulanya dia menganggap bahawa ianya adalah hujan yang sangat lebat. Tetapi, setelah diteliti lama ianya bukan fenomena alam yang biasa. Lelaki melarikan diri daripada kabus gelap bersama dengan beberapa orang kampung. Sedar tidak sedar, dia keseorangan. 

Disebabkan oleh bau kabus yang tidak menyenangkan, dia menutup mulut sepanjang perjalanan mencari jalan keluar. Badannya sudah dibasahi penuh. Kabus gelap itu tidak seperti kabus yang difikirkannya. Ianya hangat dan tidak menyenangkan. Kebetulan, langkah kaki Hendri terhenti di sebuah kedai yang menjual alat-alatan untuk kegunaan sains. Lelaki itu terjumpa topeng gas. Langsung diambil dan dipakai. Lampu suluh juga diambil kerana dia sedar hari sudah hampir gelap. Bahkan, dia tidak menemui sesiapapun di dalam kabus itu.

Topeng gas yang dipakainya membuatkan nafasnya kembali normal. Sebelum ini dia terpaksa menahan dengan nafas kecil kerana bau kabus gelap membuatkan kepalanya pusing. Sepanjang mencari jalan keluar, dia tidak bertemu dengan seorangpun manusia. Malah, isyarat pada telefonnya juga tiada. Hendri tidak berhenti walaupun waktu sudah memasuki malam. Setelah lama dan penat berjalan mencari jalan keluar, akhirnya dia terlihat cahaya. Ianya cahaya daripada motosikal Shiro, Fikri dan Ren. Ketika itulah dia bertemu dengan mereka.

Hendri patut bersyukur kerana dia akhirnya menemui jalan keluar dari kabus gelap. Walaupun di sekeliling kawasan sekolah sudah hampir ditenggelami kabus, sekurang-kurangnya ianya masih selamat. Kawasan sekolah satu-satunya kawasan yang masih memberi nafas yang segar. Hendri tidak dapat berfikir lagi jika perjalanannya semakin jauh ke dalam kabus yang gelap. Dia bernasib baik kerana terdetik hati untuk ke sekolah. Satu-satunya tempat untuk dirinya menaruh harapan.

“Jadi, kau pun tak tahu ke mana semua orang menghilang?” tanya Shiro kepada Hendri. 

Jam analog besar yang tergantung pada dinding dewan menunjukkan sudah pukul sebelas malam. Semua pelajar lelaki duduk mengelilingi lilin yang dinyalakan manakala Hara, Wani dan Fasha berada di sebalik tirai pentas. Hara tidur-tidur ayam dengan menyandar pada dinding. Takut jika Yun tiba-tiba sahaja sedar. Wani dan Fasha pula sudah nyenyak.

“Aku tak perasan pula ke mana mereka pergi. Kabus tu membuatkan pandangan aku kabur. Jadi, aku tak nampak sesiapa,” balas Hendri.

“Sama seperti aku. Pandangan aku jadi kabur semasa berlari keluar daripada kabus tu. Nasib baiklah cikgu Fawis datang dan tumpangkan aku,” balas Kevin pula.

“Cikgu Fawis tu cikgu kelab PRS kan? Dia yang kalian cari tadi? Macam mana dia boleh hilang?”

“Entahlah. Dia yang kumpulkan kami di dewan ni dan berjanji akan balik semula sebelum malam. Dia cakap dia nak cari seseorang untuk dapatkan bantuan. Tapi, dia pula yang hilang. Kereta dia pula kosong. Tak tahu ke mana dia pergi. Kalau kami terus mencari, ianya mungkin bahaya,” jawab Fikri.

“Ya. Kita tak tahu apa yang sudah jadi pada Yun. Takut juga kalau kita ditimpa nasib yang sama,” tambah Ren pula.

Kevin merebahkan badan. Dia baring menghadap siling. Tangan disilangkan ke belakang kepala. “Isyarat telefon pun tak ada. Kita nak berhubung dengan orang luar pun susah. Agak-agak apa yang terjadi pada dunia luar? Hanya kita saja ke yang masih terselamat?”

“Kalau duduk di tingkat paling atas sekolah ni pun kita tak nampak apa-apa. Semuanya sudah ditenggelami kabus gelap. Tak pernah terbayang yang hari ni akan tiba,” balas Shiro.

“Kita tak boleh duduk di sini selamanya. Kabus tu akan tenggelamkan sekolah juga nanti. Kita ada dua pilihan sama ada tunggu orang luar datang selamatkan kita atau kita sendiri yang redah kabus gelap dan cari jalan keluar. Tapi, kita sendiri tak tahu apa yang sudah terjadi dengan dunia luar,” kata Fikri dengan logik akal.

“Tapi kan, bagaimana kita nak cari makanan?” tanya ren dengan tiba-tiba.

“Kantin dan koperasi sekolah kan ada? Takkan kau sudah nyanyuk? Kita pecahkan saja pintu kantin dan ambil semua makanan yang kita nak,” jawab Kevin dengan selamba.

“Ambil semuanya? Tak perlu bayar?”

“Sekarang ni tengah darurat. Duit tak berguna untuk masa sekarang.”

“Pandai-pandai kau saja darurat. Kita tak tahu lagi ke mana semua orang dah pergi. Kalau keadaan pulih seperti sedia kala kita akan bayar semua makanan yang kita ambil,” celah Shiro pula membuatkan Ren dan Kevin sedikit kesal.

Setelah hampir sejam berbual akhirnya mereka semua terlelap. Namun, jaga sekolah masih lagi sibuk dengan televisyen. Sejak tadi lagi dia mencari siaran tetapi apa yang dia dapat hanyalah paparan pelangi. Telefonnya juga sering kali diperiksa. Berharap masih ada isyarat untuk menghubungi isterinya yang entah ke mana menghilang. Dia masih lagi tidak dapat menerima kenyataan akan kehilangan isteri dan anaknya.

Sedang sibuk mencari siaran televisyen, dia terdengar bunyi tapak kaki seseorang dari luar pondok sebelum bunyi ketukan pintu menggegarkan gegendang telinga. Pintu itu diketuk berkali-kali sebelum ianya dibuka. Pada mulanya Abang Jad agak ketakutan kerana waktu sebegini masih ada yang mengetuk pintunya tetapi dalam fikirannya terlintas sembilan orang pelajar yang berada di dalam dewan. Mungkin mereka belum tidur.

Pintu dibuka. Kelihatan susuk tubuh seseorang terpacak di hadapan pintu. Abang Jad menyoal tanpa rasa ragu. “Oh, kamu rupanya. Ada apa?”

Pertanyaannya dibalas dengan senyuman sinis daripada pelajar tersebut sebelum sebilah pisau dihala ke perut Abang Jad. Jaga sekolah itu menelan air liur sendiri. Peluh dingin membasahi dahi. Wajahnya bertukar pucat bagaikan nyawa berada di hujung tanduk. Dia mengangkat kedua-dua belah tangan ke udara. tanpa tidak melawan.

“A-Apa yang kau nak?” tanya Abang Jad dengan gagap.

“Aku nak kau buat apa yang aku suruh. Tapi kau kena rahsiakan perkara ni daripada semua orang. Kalau ianya terbongkar, setiap orang yang ada di dalam dewan akan mati termasuklah kau. Kau tak takut ke lihat bini dan anak kau menangis meratapi mayat kau?”

“Y-Ya-ya! Aku takkan beritahu sesiapa.”

“Kabus ni sangat misteri tapi ada yang pelik dengan kabus ni. Ianya sesuatu yang sangat aneh. Kau sendiri tahu kan? Semua orang hilang tapi kenapa kita sahaja yang masih selamat? Kau tahu sebab apa?”

“T-Tak!”

“Sebab kita tak hidu bau kabus tu. Sesiapa yang hidu baunya sudah tentu akan hilang dan lenyap dari muka bumi ni. Oh aku lupa, Shiro ada cakap yang kau masuk ke dalam kabus untuk cari bini dan anak kau. Sudah tentu kau juga hidu bau kabus tu kan? Kau tak takut akan hilang dan lenyap dari bumi ni? Kau tak takut ke?”

“Ca-Cakap saja yang kau nak aku buat, aku akan buat!”

“Bagus. Sekarang ni, aku nak kau ...”

*****

Waktu subuh. Jarum panjang dan pendek jam analog yang tergantung pada dinding dewan sudah berada tepat pada nombor enam. Selalunya, ini ialah waktu mereka sibuk untuk ke sekolah. Tetapi, itu hanya semalam. Hari ini sudah berubah. Pada mulanya semua pelajar masih lagi terlelap tetapi jeritan Wani telah mengejutkan semua orang. Hara yang berada di sebelah Wani pula tersedar manakala Fasha hanya menutup telinga. Yun pula masih tidak sedarkan diri. Ren, Shiro dan yang lain juga membuka mata walaupun masih mamai. 

“Kau dah kenapa ni?” soal Hara dengan bingung.

Wani yang masih tercari-cari akan sesuatu langsung menjawab, “telefon aku! Telefon aku sudah hilang! Semalam aku letak di sebelah aku, sekarang ianya sudah tak ada!”

“Mungkin kau salah letak.”

“Tak mungkin! Aku tak pernah salah letak! Kalau tak ada telefon tu macam mana aku nak hubungi mak dan ayah? Manalah tahu ada isyarat! Arghh! Mana-mana?” Wani masih tercari-cari. Hara pula menghembuskan nafas akur. Dia turut mencari telefon Wani. Namun, mereka terhenti seketika apabila terdengar keluhan.

“Weh, dompet aku pun hilang!”

“Kau salah letak juga?” soal Kevin dengan selamba.

“Aku letak di bawah tilam semalam! Aku ingatlah!”

“Kenapa pula kau letak bawah tilam?” soal Kevin lagi.

“Dia memang akan sorokkan dompet dia sebelum tidur. Tak suka letak dalam poket. Sudah jadi hobi dia ke,” jawab Shiro yang sudah faham dengan kelakukan Ren. 

Tatkala Ren sedang mencari dompetnya, Fikri pula mengeluh seraya meraba-raba sebuah beg kecil yang dibawanya. “Tak guna betul! Dompet aku pun hilang juga?” 

Pada waktu itu, Shiro terfikir akan sesuatu. Sebuah kesimpulan yang sama yang difikirkan oleh Hendri. Namun, tidak sempat Shior membuka mulut, Hendri sudah berkata-kata. “Tak perlu cari lagi sebab kalian takkan jumpa. Telefon Wani, dompet Ren dan Fikri hilang bukan sebab mereka salah letak. Sudah terang lagi bersuluh ada orang curi. Ianya sudah tentu salah seorang daripada kita semua.”

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status