Share

Bab 6

Untuk kali pertama, Fasha berani membuka mulut. Dengan nada suara yang sayu, dia mula menceritakan kisah hidupnya yang juga menjadi asbab kenapa dia bertindak sedemikian. Semuanya bermula sejak dia masih kecil. Kehidupan seorang kanak-kanak biasanya akan diisi dengan kasih sayang ibu bapa. Ada sahaja mainan baru yang dibeli tetapi zaman kanak-kanak Fasha jauh berbeza dengan kanak-kanak lain. 

Selalunya ibu bapa akan mengambil anak-anak mereka pulang dari tadika tetapi Fasha tidak. Dia sudah terbiasa. Sudah lali meredah kampung seorang diri untuk pulang ke rumah. Tatkala pintu rumahnya dibuka, hanya pertengkaran ibu dan bapanya melantun di gegendang telinga. Bukan sekali malah sudah setiap hari. Keluarganya tidak seperti orang lain.

Ayahnya seorang penagih dadah. Ibunya pula bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah gerai makan. Entah apa yang membuatkan wanita itu tidak mahu meminta cerai atau fasakh. Sudah tahu suaminya pulang ke rumah hanya meminta duit untuk membeli dadah tetapi ada sahaja duit yang diberinya. Namun, perlu dileter dan bertikam lidah dahulu barulah dapat. Cinta itu membutakan.

Fasha yang ketika itu masih berumur lima tahun, menutup telinga di sudut ruang tamu. Pernah berkali-kali juga ayahnya pulang dan memukul ibunya kerana tidak memberikannya wang. Pernah juga ibunya menjadi mangsa pukul kerana ingin melindunginya daripada menjadi tempat melepaskan baran. Ya. Itulah tayangan ‘televisyen’ yang ditonton setiap hari oleh Fasha. Dia hanya mampu duduk di sudut bilik, menutup telinga dan menangis setiap kali ibu bapanya bertengkar.

Dia hanya menginginkan kehidupan seperti kanak-kanak lain. Diberikan kasih sayang yang cukup, dibelikan mainan, dan dimanjakan. Tetapi, itu hanyalah angan-angan. Sebuah angan-angan yang tidak akan menjadi kenyataan. Hanya mampu berharap agar suatu hari nanti semuanya bakal berubah tetapi semakin dia membesar semakin kabur harapan itu.

Fasha menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Sudah tentu gadis yang tiada kawan sejak kecil itu akan kesunyian. Tidak mampu berkongsi cerita dan luahan. Hanya mampu duduk di atas kerusi di dalam kelas, memerhati ke luar jendela yang nyaman. Memerhati rakan sekelas bergurau senda dengan pakaian baru setiap tahun, dengan beg sekolah baru setiap tahun, dengan alat tulis baharu setiap tahun. 

Sedangkan dia hanya memakai pakaian buruk, beg sekolah yang sudah koyak dan alat tulis yang lama. Pernah dia dihina oleh pelajar lain akan penampilannya. Sudah tentu tidak ada pelajar yang ingin dekat dengannya. Pernah juga dia dibuli oleh sekumpulan kanak-kanak nakal. Dilempar cat air ke bajunya, dibaling kasut, ditarik sehingga terjatuh dan berbagai lagi. Tetapi, apa yang mampu Fasha lakukan? Balas? Sudah tentu dia akan dipukul. Jadi, dia hanya diam walaupun hatinya sudah merana kepedihan.

Apabila pulang dari sekolah dan meminta daripada ibunya untuk dibelikan pakaian, beg dan alat tulis yang baharu, dia pula dimaki. Dimaki sehingga menangis. Namun, tatkala dia menangis, dia pula dipukul sehingga lebam. Ibunya berkata bahawa dia tiada duit untuk membeli semua perkara itu. Cukup sahaja memakai pakaian, beg dan alat tulis lama. Ke sekolah bukan untuk berfesyen tetapi belajar. Iya. Benar. Ke sekolah untuk belajar tetapi kanak-kanak seperti Fasha tidak akan mengerti apa itu belajar jika setiap hari dia ke sekolah dia akan dibuli, setiap hari dia pulang ke rumah dia akan dipukul.

Gadis kecil itu sudah trauma. Setiap kali pulang, dia hanya menjadi tempat melepaskan baran ibunya yang tertekan dek kerana sang suami durjana. Anak kecil itu menangis di sudut bilik yang gelap. Di saat ayahnya pulang, dia menutup telinga dalam. Dia ketakutan. Sudah takut hendak keluar dari bilik. Sudah takut untuk ke sekolah. Tetapi, ibunya memaksa dia ke sekolah. Diheretnya tangan bagai hendak tercabut. Dipukul sehingga Fasha berkata, “ya, Fasha akan ke sekolah.”

Seiring berjalannya waktu, Fasha melangkah ke alam sekolah menengah. Seperti hari-hari biasa. Seperti bulan-bulan biasa. Seperti tahun-tahun biasa. Dia dijauhi. Dia dibuli. Dia dipukul. Sehingga dia sudah tidak tahan. Ingin sahaja menyimpulkan tali dan menggantung diri di dalam bilik. Biar dia mati. Berharap agar semuanya berakhir kerana hidupnya hanya untuk dibenci. Tetapi, dia tidak sanggup. Setiap malam hanya diisi dengan air mata. Mempersoalkan kehidupannya sehingga dia depresi dan anxiety. Ya, itulah realiti.

Dia sudah berganjak ke usia remaja. Sudah matang berfikir namun disebabkan trauma dan masa lalu, depresi dan anxiety melampau, dia tidak ubah seperti Fasha yang dahulu. Tatkala ibunya tiada di rumah, ayahnya pulang meminta wang. Sudah berkali-kali Fasha mengatakan bahawa dia tiada duit tetapi dia pula dijadikan bahan pukul. Hampir sahaja dia dirogol oleh bapa kandung sendiri tetapi sempat dipukul oleh ibunya yang baru sahaja menjejakkan kaki ke rumah. 

Sudah tidak tahan dengan perangai sang suami, akhirnya ibu Fasha melaporkan hal itu kepada pihak polis. Ayah Fasha dipenjara. Namun, Fasha pula dipukul dan dimaki kerana dituduh menggoda ayah sendiri. Khabar angin tersebut pantas tersebar sehingga ibu Fasha dibuang kerja. Siapa yang sanggup mengupah seorang wanita yang anaknya adalah ‘pelacur’ sedangkan Fasha tidak pernah melakukan hal terkutuk itu. Fasha sudah serik. Dia sudah hampir gila dengan tekanan hidup. Dia sudah tidak mahu hidup. Dia juga sering dipersalahkan oleh ibunya.

Satu-satunya ayat yang sentiasa bermain di bibir ibunya dan bermain dalam fikiran Fasha, “kau tidak patut ada di sini. Kau patut mati.”

Sudah sekian lama Fasha menginginkan mati. Sudah lama dia ingin bunuh diri tetapi dia tidak sanggup. Dia takut. Sepatutnya orang sepertinya sudah lama menggantung diri, terjun dari jambatan atau sebagainya yang mampu membunuh nyawa. Tetapi, Fasha masih hidup. Dia masih mampu bertahan walaupun kehidupannya sudah musnah sepenuhnya. Didera sejak kecil, dibuli sejak di alam persekolahan, hampir dirogol oleh bapa sendiri dan digelar pelacur oleh orang kampung. Siapa yang mampu hidup dengan semua perkara itu?

Fasha terpaksa menyara hidupnya. Bukan hidupnya sahaja malah ibunya juga setelah ibunya jatuh sakit. Wanita itu tidak mampu bergerak. Ke mana sahaja dia hendak pergi akan dibawa oleh Fasha seorang diri. Walaupun dia sering dipukul oleh ibunya tetapi dia tetap ibu yang pernah mengandungkan dan melahirkannya. Jadi, Fasha tidak mahu meninggalkan ibunya sendirian. Dia harus mencari kerja sambilan sekurang-kurangnya untuk mencari makan buat ibunya.

Tetapi, hidupnya bukan senang. Mencari kerja di kampung, langsung dipandang serong. Khabar angin tentang dirinya masih belum lenyap. Sudah tentu tiada sesiapa yang ingin menerimanya. Bahkan, sudah berkali-kali dia membuang malu menatap dan merayu untuk diambil kerja tetapi dia pula dihalau. 

Jadi, Fasha tiada pilihan lain selain mencuri. Fasha tahu bahawa dia tidak sanggup berbuat demikian tetapi dia terpaksa. Disebabkan itulah terjadinya kes kecurian yang menggemparkan sekolah. Bahkan, pada masa yang sama Fasha jugalah orang yang terlibat dalam kes buli. Sudah tentu dia yang menjadi mangsa tuduhan atau kecurian tersebut walaupun dia hanya diam kerana tidak mahu menipu.

Hendri sudah mengetahui bahawa Fasha mempunyai kaitan dengan kes kecurian dan kes buli di sekolah setelah dia sendiri turun padang secara senyap untuk mencari si pelaku. Hendri juga orang yang memaklumkan hal itu kepada cikgu Fawis yang membuatkan cikgu Fawis ke rumah Fasha pada petang semalam. Tetapi, Fasha tidak mahu menceritakan kisah yang sebenar sehingga dia dipaksa ke sekolah untuk bertemu dengan ahli kelab PRS. Dengan tujuan agar masalah hidupnya dapat diselesaikan tetapi kemunculan kabus gelap telah merubah jalan cerita.

“Sebab tulah kau curi dompet dan telefon kami? Kau perlukan duit untuk ibu kau yang tengah sakit?” soal Shiro.

Fasha hanya mengangguk. Dia mengesat air mata. Wani pula memeluk gadis itu. Sebak mendengar kisah hidup Fasha. Pada masa yang sama dia bangga kerana Fasha masih hidup sehingga kini setelah berbagai ujian sejak kecil lagi ditempuhinya. Walaupun sering kali cuba membunuh diri akibat tekanan hidup. Tetapi, dia masih kuat.

“Kalau kau perlukan apa-apa, hanya cakap. Kami bukannya macam orang lain. Kami ahli kelab PRS akan bantu pelajar semampu yang kami boleh,” kata Fikri pula.

“Haish! Aku tak pandai bercakap tapi kalau kau perlukan apa-apa, kami ada untuk bantu kau,” tambah Ren pula. Kevin hanya mengangguk setuju.

“Ma-Maafkan aku,” sepatah kata keluar daripada mulut Fasha. 

Wani memeluk erat gadis itu seraya membalas, “tak perlu minta maaf. Kami faham. Kita kan kawan. Kawan akan tolong antara satu sama lain.”

Fasha membalas pelukan dengan senyuman yang sudah sekian lama hilang.

“Bercakap tentang kawan, mana pergi seorang lagi kawan kau Wani?” soal Hendri.

“Hara ke? Dia pergi tengokkan Yun.”

Sebaik sahaja Wani membalas pertanyaan Hendri, lantang suara Hara memanggil mereka dari atas pentas. Mata mereka tertumpu ke arah Hara. Tertanya-tanya dengan panggilan itu. Gadis itu nampak kalut. Nafasnya naik turun. Roman wajahnya terlihat terkejut. Tidak seperti biasa. Apa yang sudah berlaku?

“Kalian! Yun ... dia sudah sedar!”

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status