Share

Bab 2

Lampu dewan dibuka. Cahaya menerangi segenap ruang. Dewan yang kosong itu bakal menjadi tempat tidur mereka. Makanan pula sudah disediakan oleh cikgu Fawis. Mereka sudah berbincang untuk tinggal di sekolah buat sementara waktu memandangkan hari pun sudah senja. Tempat tidur lelaki di pintu masuk dewan manakala tempat tidur perempuan di sebalik tirai pentas. Mereka akan diawasi oleh Abang Jad

Pada mulanya jaga sekolah itu tidak bersetuju tetapi setelah dia sendiri masuk ke dalam kabus gelap itu, dia percaya. Tidak ada apa yang ditemuinya melainkan rumah yang kosong tanpa penghuni, kereta tanpa pemandu dan jalan raya yang lengang. Anak dan isterinya juga hilang. Entah ke mana semua orang sudah pergi. Tidak ada yang mengetahuinya.

“Kalau ada apa-apa masalah, kalian boleh beritahu Abang Jad. Cikgu akan cuba cari seseorang di luar sana. Manalah tahu cikgu akan jumpa seseorang yang boleh tolong kita. Sebelum malam nanti cikgu akan balik semula ke sini. Jadi, kamu semua jangan timbulkan masalah. Jangan sesekali masuk ke dalam kabus tu, okey?”

“Baik!” serentak dijawab.

“Cikgu yakin masih ada orang dalam kabus tu? Saya sendiri lihat dengan mata dan kepala saya. Tidak ada orang. Mereka semua sudah hilang,” soal Shiro.

“Sebab tulah cikgu cakap cikgu akan cari. Cikgu pergi dulu ya,” balas cikgu Fawis. Dia mula melangkah ke arah keretanya. Ucapan selamat diberi oleh Abang Jad.

“Abang Jad akan duduk di pondok. Kalau kalian ada apa-apa masalah boleh jumpa abang di sana. Jangan buat benda-benda mengarut, okey?” nasihat Abang Jad sebelum berlalu pergi. Shiro dan yang lain yang memerhati langkah kaki lelaki itu.

Shiro dan yang lain duduk di dalam lingkaran bulatan. Lilin yang bernyala diletakkan di tengah. Mereka akan berbincang akan sesuatu tetapi sebelum itu mereka masih tidak mengenali dua orang yang dibawa oleh cikgu Fawis. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Mungkin, inilah waktu yang sesuai untuk berkenalan. 

“Sebelum kita berbincang tentang keadaan yang berlaku sekarang. Boleh kami tahu nama kamu berdua dan umur?” cadang Shiro.

“Aku rasa, lagi bagus kalau kita perkenalkan diri kita semua,” cadang Fikri pula, disokong semua.

“Aku akan mulakan. Nama aku Shahrul tapi kalian boleh panggil aku dengan nama Shiro. Aku berumur sembilan belas tahun dari Tingkatan Enam Atas. Aku juga penolong ketua kelab Pembimbing Rakan Sebaya.”

“Aku, Ren. Panggil saja Ren. Seusia Shiro.”

“Nama aku Fikri. Aku seusia Shiro dan aku ketua kelab Pembimbing Rakan Sebaya.”

“Memandangkan kalian masih tak kenal aku, aku akan perkenalkan diri dengan ringkas. Nama aku Kevin. Umur aku, lapan belas tahun dari Tingkatan Enam Bawah. Sebenarnya, ketika aku cuba lari daripada kabus aneh tu, aku terserempak dengan cikgu Fawis. Dia yang tumpangkan aku. Aku dari sekolah ini. Mungkin kalian tidak kenal. Tapi tak mengapa, kita sudah saling kenal sekarang.”

“Nama aku pula Hara. Berumur sembilan belas tahun.”

“Nama aku pula Syazwani. Panggil saja Wani. Aku seusia Kevin tapi berlainan kelas.”

“Dan tinggi dia tak sampai 160 sentimeter,” jampuk Ren.

Wani mengetap gigi, marah sebelum membalas, “tak ada orang tanya!”

Hanya tinggal seorang lagi yang tidak memperkenalkan dirinya. Dia termenung akan sesuatu membuatkan semua mata tertumpu kepadanya. Menunggu dia membuka mulut. Tetapi, saat Wani menepuk pahanya, barulah dia tersentak, sedar.  Wani menyuruhnya untuk memperkenalkan diri. 

“Maaf. Nama aku, Fasha. Umur, tujuh belas tahun. Berasal dari sekolah ni. Maaf. Aku tak kenal kalian. Aku rasa takut dan aku … ada anxiety dan … depresi,” balas Fasha dengan suara kecil. Dia menundukkan wajah tatkala memperkenalkan diri. Tangannya juga terketar-ketar. 

“Tak apa. Jangan risaulah, kami semua tak makan orang,” kata Fikri yang cuba menenangkannya.

“Memang tak makan orang sebab kau bukan kanibal. Macam tu pun nak cakap?” celah Ren.

“Hey! Aku cuma nak tenangkan dia!”

“Jangan risau, Fasha. Aku dan Hara ada. Kalau kau ada apa-apa masalah, kau boleh beritahu aku, okey? Jangan takut.”

Fasha diam seketika sebelum mengangguk setuju. Wani pula memeluk gadis itu. Bahunya diucap perlahan. Cuba menenangkannya. Dia amat faham perasaan seseorang yang mengalami anxiety dan depresi. Tentu gadis itu sangat takut tatkala berada dengan orang yang tidak dikenalinya. Walau bagaimanapun, Wani akan cuba sedaya upaya untuk membuatkan dia terbiasa dengan kenalan baharu.

“Berbalik ke tajuk asal kita. Aku ada beberapa soalan nak tanya semua orang di sini. Aku harap, kalian semua dapat ingat balik saat kalian masih berada di dalam kabus. Aku bagi kalian seminit untuk ingat balik permandangan, rasa dan semuanya tentang kabus itu. Ingat balik saat terakhir sebelum kalian nampak kabus tu.” Shiro nampak serius. Semua orang cuba mengingati detik yang dimaksudkan oleh Shiro. 

“Aku tengah main permainan video waktu tu,” selamba Ren menjawab.

“Janganlah ingat waktu tu! Ingat balik waktu kau masuk ke dalam kabus tu! Apa yang kau nampak? Apa yang kau rasa? Itu maskud Shiro,” tengking Wani.

“Yalah-yalah!” Ren pula akur.

“Waktu tu dalam pukul tiga petang. Selepas aku balik sekolah. Aku lepak di rumah kawan aku. Selepas asar, kabus gelap tu muncul dan merebak dengan cepat. Ramai orang yang melarikan diri termasuklah aku. Waktu tu, aku ingat dunia dah nak kiamat. Selepas tu, aku sudah tak nampak sesiapa. Aku tutup mulut dan hidung aku sebab bau kabus tu agak aneh dan meloyakan. Ketika aku itu juga aku berjumpa dengan cikgu Fawis dan Fasha,” cerita Kevin.

“Kabus tu muncul selepas asar, huh? Dia bergerak dengan cepat dan tiba-tiba sahaja berhenti?” fikir Fikri.

“Aku tak rasa ianya berhenti. Aku rasa ianya masih bergerak tetapi sekarang ni mungkin sangat perlahan dari kali pertama dia muncul,” balas Kevin.

“Kau nampak ke mana semua orang pergi?” tanya Ren.

“Aku tak nampak pula. Waktu aku larikan diri, aku hanya fikir tentang diri aku. Sedar tak sedar, semua orang sudah hilang.”

“Fasha pula? Kau ada cerita?’ tanya Shiro. Tetapi pertanyaannya dibalas dengan gelengan kepala. Nampak seperti gadis itu tidak mahu menceritakan sebab kenapa dia boleh berada di dalam kereta cikgu Fawis. Tetapi Shiro tidak mahu memaksa gadis itu jika dia tidak ingin menceritakannya.

“Agak-agak ke mana mereka pergi? Aku rindu keluarga aku,” luah Wani seraya memeluk lutut. Bukan dia sahaja yang merasai akan hal itu tetapi semua orang. Mereka semua merindui keluarga mereka. Perasaan ingin pulang sudah tentu sedang membuak-buak dalam hati mereka tetapi apakan daya. Tidak ada apa yang mampu mereka lakukan selain berdoa. Berharap agar orang-orang yang hilang di dalam kabus, muncul kembali. Berharap agar kabus gelap itu hilang secara perlahan-lahan.

Kevin membuka telefon pintar. Raut wajah lelaki berkaca mata itu agak terkejut tatkala melihat isyarat telefon. “Baru aku perasan yang isyarat telefon tak ada. Kalian pun sama ke?’

“Ya. Sejak kabus tu muncul lagi. Dari tadi lagi aku cuba telefon ayah aku tapi tak boleh. Sepatutnya dia sudah sampai ke sekolah sejak tadi lagi tapi hari ni tak pula,” balas Hara.

“Bukan isyarat telefon saja yang tak ada. Siaran televisyen pun tergendala. Itu yang aku dan Hara tengok di pondok jaga tadi,” balas Wani pula.

“Maknanya, kita tak boleh berhubung dengan orang luar dan orang luar pun tak boleh berhubung dengan kita,” kata Fikri dengan teori yang logik.

“Aku harap, kabus tu hilang esok,” doa Shiro. Dia bangun sebelum berjalan mendapatkan beg sekolah di sebelah pintu dewan diikuti oleh yang lain. Jam pada telefon pintar sudah menunjukkan pukul tujuh malam. Mereka hanya perlu menunggu kedatangan cikgu Fawis yang sudah berjanji akan pulang sebelum matahari terbenam. Namun, senja pun sudah tua. Bayang lelaki itu masih tiada.

Ren dan Kevin mengusung masuk tilam yang diambil dari stor sukan ke dalam dewan. Tilam yang biasa digunakan untuk sukan lompat tinggi. Mereka seperti sudah bersedia menyambut malam. Pada mulanya Fikri bingung dengan tindakan mereka tetapi barulah dia sedar, itu satu idea yang bagus untuk tidur di atas tilam tersebut berbanding dengan lantai bersimen yang kotor. 

“Berat gila tilam ni. Selalunya, waktu kelas sukan, cikgu selalu suruh orang kurus yang angkat. Macam manalah mereka boleh angkat. Tak tahu pula seberat ni,” rungut Ren. Dia mengesat peluh di dahi sebelum berbaring di atas tilam.

“Aku pernah angkat tilam ni dengan kawan aku dulu. Dia kurus macam papan. Bila nak sampai ke padang, aku lepas. Aku biar dia tarik sorang-sorang. Sampai saja di padang dia cakap, ‘kenapa berat sangat tilam ni?’ padahal dia tak tahu yang aku tak angkat pun. Tak sangka pula dia boleh tarik tilam ni seorang diri. Hahaha!” balas Kevin dengan kenangan lucu sebelum dia juga merebahkan badan di sebelah Ren.

“Hey, itu satu idea yang bagus. Aku nak cuba nanti.”

“Silakan. Tapi jangan buat pada aku sudahlah.”

“Aku baru berniat nak buat pada kau.”

“Kalian berdua nampak macam sudah rapat. Dengki pula aku tengok kalian tidur atas tilam,” celah Hara. Dia berdiri di hadapan Ren dan Kevin dengan kedua-dua tangan disilang ke dada.

“Kalian sudah tidur di sebalik langsir pentas. Pentas berkapet pula tu. Takkanlah kami nak tidur atas lantai dewan yang kotor ni,” balas Ren.

Kevin pula bangun sebelum membuka mulut, “Hara, macam mana dengan Fasha? Tak pernah aku tengok orang yang ada anxiety depan mata. Tak sangka pula sampai terketar-ketar macam tu.”

“Dia ada dengan Wani. Kau jangan pandang anxiety dan depresi ni sesuatu yang normal. Ianya gangguan mental. Kita tak tahu apa yang dia sudah lalui sepanjang hidup dia,” balas Hara dengan pandangan mata yang tajam ke arah Kevin membuatkan lelaki itu cuak.

“Aku tak pandang perkara tu sebagai sesuatu yang normal. Jangan salah faham. Aku hanya bertanya.”

“Sekarang ni, kau nak tahu di mana Shiro dan Fikri?”

“Mereka ada di luar dengan Abang Jad.”

Ren pula membuka mulut dengan gurauan, “ada apa nak jumpa Shiro dan Fikri? Masalah rumah tangga ke? Hihihi! Maklumlah, berkahwin dua!”

“Bukan urusan kaulah bodoh,” balas Hara dengan lantang sebelum berjalan keluar dari dewan.

Kevin yang melihat Hara berjalan pergi, langsung menghembuskan nafas lega. Cuak juga lelaki itu bersoal jawab dengan Hara. Itulah kali pertama mereka saling membalas kata. Tidak pernah pula dia bayangkan yang karakter atau personaliti Hara jauh berbeza dengan Wani. Kalau Wani, dia masih lagi ada lemah lembut walaupun agak menakutkan apabila dia naik angin. Tetapi, Hara lain. Aura dia pun sudah garang dan serius.

“Kau kena berhati-hati kalau nak bercakap dengan Hara,” pesan Ren.

“Kenapa?”

“Dia datang bulan.”

“Huh?”

Shiro, Fikri dan Abang Jad sedang menunggu kepulangan cikgu Fawis tetapi batang hidung lelaki itu masih tidak kelihatan. Kabus gelap yang berada di seberang jalan itu diperhati. Jalan yang ditenggelami itu juga ditatap. Menunggu bayang kereta cikgu Fawis. Tetapi, masih tidak muncul seperti yang dijanjikan. Hal itu membuatkan mereka rasa tidak sedap hati. Abang Jad pula bersuara untuk mencari cikgu Fawis. Risau jika ada sesuatu yang tidak diingini terjadi kepadanya. 

Shiro dan Fikri tidak ada pilihan lain selain membiarkannya. Tetapi, mereka menasihati Abang Jad agar pulang segera jika ada sesuatu yang tidak kena di dalam kabus itu. Topi keledar dipakai. Motosikal dihidupkan sebelum dibonceng ke arah kali terakhir cikgu Fawis berada. 

“Ada apa ni?” soal Hara yang baru sahaja tiba.

“Cikgu Fawis tak pulang lagi,” balas Fikri, ringkas.

“Dia masuk ke dalam kabus untuk cari orang kan?”

“Ya. Tapi, dia dah terlalu lama di dalam kabus tu. Dia sendiri cakap yang sebelum malam, dia akan balik ke sini. Sekarang ni, Abang Jad pergi cari dia,” balas Shiro pula.

“Kalau apa-apa yang jadi dengan Abang Jad macam mana?” 

“Doakan yang baik-baik saja. Aku rasa, lebih baik kita tunggu Abang Jad di dewan. Dah nak gelap ni. Lampu jalan di dalam kabus sana pun tak bernyala. Hanya lampu jalan di kawasan sekolah sahaja yang masih berfungsi. Menakutkan pula di luar ni.”

Shiro dan Hara bersetuju dengan cadangan Fikri. Mereka tidak boleh berlama di luar. Tidak tahu apa yang bakal muncul di sebalik kabus gelap itu. Malah, kemunculan kabus gelap itu sendiri sudah membawa pelbagai persoalan. Mereka hanya mampu berdoa dan berharap agar Abang Jad menemui cikgu Fawis.

Hanya lampu dewan yang bernyala di blok itu, menandakan keberadaan mereka. Shiro dan yang lain berkumpul di dalam bulatan. Kali ini, lilin tidak dinyalakan. Mereka menunggu kedatangan Abang Jad dan cikgu Fawis. Tetapi sudah hampir dua puluh minit menunggu, susuk tubuh Abang Jad belum kelihatan. Apatah lagi cikgu Fawis. 

“Sudah lama. Nak masuk setengah jam. Mereka tak pulang lagi. Apa yang terjadi ni?” soal Wani dengan risau. Dia memeluk lutut, memerhati batang lilin yang tidak bernyala. Fasha yang berada di sebelahnya pula hanya menundukkan kepala.

“Mereka akan pulang cuma lambat. Mungkin, kereta cikgu Fawis habis minyak. Abang Jad pula tolong tolakkan kereta cikgu Fawis. Lagipun, dalam kabus tu semua lampu jalan tak berfungsi. Sudah tentu mereka susah nak cari jalan pulang ke sekolah.” Ren cuba bersangka baik walaupun kedengaran agak tidak kena dengan keadaan sekarang.

“Isyarat telefon tiada. Semua orang yang ada dalam kabus hilang. Semua lampu dan elektrik tidak berfungsi. Hmm … ada sesuatu yang pelik,” fikir Kevin.

“Rasanya tak pelik sebab lampu jalan di kawasan sekolah ni guna tenaga elektrik di sekolah. Sebab tu ianya masih bernyala. Cuma, apa yang pelik. Lampu jalan akan bernyala secara automatik kalau keadaan gelap. Tapi, ianya tak berfungsi pula bila dalam kabus yang gelap tu,” teka Hara pula.

“Mungkin sebab semua orang sudah hilang? Jadi, tak ada yang jaga tempat bekalan elektrik di kawasan ni,” tambah Shiro juga dengan tekaan.

“Sekarang ni bukan masanya untuk fikir tentang lampu tu. Abang Jad dan cikgu Fawis belum balik lagi. Sudah hampir setengah jam Abang Jad keluar,” celah Fikri.

Keadaan senyap seketika sebelum Ren bertanya, “kita nak pergi cari mereka tak?’

“Aku rasa ianya terlalu bahaya. Kau sendiri tahu kan?” soal Hara dengan serius.

“Aku tanya saja. Tapi, kalaulah! Kalaulah cikgu Fawis dan Abang Jad tak balik sampai ke pagi esok, apa yang kita nak buat? Duduk termenung sampai orang luar selamatkan kita? Kita sendiri pun tak tahu apa yang sudah terjadi dengan dunia luar. Jadi, apa yang kita akan buat? Itu saja yang aku nak tahu.”

Semua diam. Mula memikir akan nasib di masa hadapan. Benar juga kata-kata Ren. Mereka tidak boleh menunggu dan menyorok di sekolah sahaja. Suatu hari nanti, kabus gelap itu akan menenggelami sekolah juga. Tetapi, tidak ada sesiapapun yang tahu perkembangan dunia luar. Mungkin kawasan lain juga sudah ditenggelami kabus? Mungkin juga semua orang di dunia ini sudah hilang di dalam kabus? Disebabkan itulah mereka tidak boleh menunggu lagi. 

Keadaan sepi itu dimatikan dengan bunyi motosikal dari luar dewan. Bunyi tapak kaki seseorang sedang berlari ke pintu masuk, jelas kedengaran. Mata mereka tertumpu ke arahnya. Orang itu ialah Abang Jad. Tetapi, nafasnya naik turun. Badannya dipenuhi peluh. Wajahnya pula pucat. Jelas, dia datang membawa suatu berita yang tidak menyenangkan. Tetapi, tujuh orang pelajar itu sudah membuka telinga. Bersedia mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutnya.

“Kalian! Cikgu … cikgu Fawis sudah hilang!”

 

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status