Share

MLS ¦ DUA

"Ini keputusan muktamad ayah!" tegas suara ayah menekankan itu adalah keputusannya jadi tiada sesiapa boleh membantahnya termasuklah Mak Jah mahu pun Kak Tina. Eh.

"Abang!" namun mama tidak mahu berdiam diri, suaranya lantang memanggil ayah. Aku dan Nur Sara hanya menjadi penonton saat ni kerana masih terkejut.

"Ayah! Sara tak nak kahwin! Kenapa ayah suka sangat masuk campur urusan hidup Sara? Sara dah besarlah ayah!" marah Nur Sara dan mama mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Nur Sara tu.

"Dah besar?" soal ayah dengan nada tinggi. "Besar apa kalau perangai tak berubah-ubah? Sejak umur kamu 19 tahun sampai ke umur 22 tahun ni. Ayah tak nampak satu perubahan besar dalam hidup kamu pun. Yang ayah nampak, kamu keluar pagi balik pagi setiap hari." nada keras ayah sama seperti pandangan tajamnya ke arah Nur Sara.

"Abang tak boleh aturkan hidup Sara macam ni, tentang jodoh dia semua abang tak pernah bincang dengan saya sikit pun." sampuk mama pula dan pandangan ayah dialihkan ke arah mama.

"Nak saya bincang dengan awak tentang apa? Tenang mak-mak datin awak? Tentang anak-anak ikan mereka? Awak nak saya tadah telinga dengar gosip awak tentang baju mahal, gelang emas penuh satu tangan? Awak tak pedulikan tentang anak-anak awak kenapa sekarang baru nak bantah keputusan saya?" lantang dan jelas suara ayah menuturkan setiap perkataan tu. Aku tahu, ayah sudah hilang sabar dengan semua perkara yang berlaku dalam rumah ni.

Mama sibuk dengan urusan mak-mak datinnya. Ayah sibuk dengan urusan kerjanya. Nur Sara pula sibuk dengan kawan-kawan liarnya dan hanya aku yang terperap di dalam rumah yang kadang-kadang membantu Mak Jah dan Kak Tina mengemas serta memasak di dalam rumah.

Akirnya mama diam kerana tak mampu nak jawab soalan bertubi-tubi dari ayah tu. "Ini keputusan saya, ayah nak Hara masuk ke pejabat esok dan berjumpa dengan pembantu pengarah, Encik Sufian." terang ayah dengan jelas kepada aku.

"Dan Sara, bersiap-siap minggu depan kamu akan berlepas ke Korea Selatan." ujar ayah lagi. Setelah itu ayah bingkas bangun dari duduknya. Dengan siap berpakaian kemas, aku tahu ayah pasti ada mesyuarat penting pagi ni jadi dia perlu ke pejabat dengan segera.

Nur Sara membentak sebaik saja kelibat ayah hilang dari pandangan mata kami. Nur Sara bingkas bangun dan berlalu pergi meninggalkan meja makan ni. Kini, hanya tinggal aku dan mama saja di sini.

Aku menghirup perlahan air teh o panas di dalam cawan aku. Tiba-tiba aku terdengar dengusan kasar dari arah mama. Aku mengangkat sedikit wajah aku untuk melihatnya dengan jelas. "Sukalah kau kan?" soal mama sambil mengunyah kuih karipap di dalam mulutnya.

"Jijik betul aku dengan kau ni, kau pakai minyak dagu ke apa sampai suami aku suka sangat lebih-lebihkan kau dari Nur Sara?" soal mama kepada aku. Kata-kata mama itu membuatkan aku terasa pedih di ulu hati. Mengapa mama sanggup menuduh aku begitu sedangkan tak pernah terlintas di fikiran aku untuk lakukan perkara-perkara sebgitu.

Aku sendiri tak mengerti mengapa mama anggap ayah lebihkan aku berbanding Nur Sara sedangkan aku rasa layanan yang ayah berikan kepada kami berdua sama rata.

"Hara tak pernah terlintas nak buat semua tu ma. Semua tu kan syirik ma." jawab aku untuk mempertahankan diri dari tuduhan tak berasas mama tu.

"Ah! Kau, muka je nampak suci tapi hati tu hitam. Kau dah rancang semuanya kan? Biar suami aku benarkan kau masuk syarikat dan kau bolehlah bermaharajalela dalam rumah ni kan?" tuduh mama lagi sambil tangannya menghentak meja makan. Terkejut aku dibuatnya, jari mama ditundingkan ke arah aku.

Mengapa sebegini bencinya mama terhadap aku? Apa salah aku sehingga mama terlalu bencikan aku? Aku sendiri tak tahu. Mama menarik rambut aku dan menunjal kepala aku ke atas pinggan yang dipenuhi makanan di hadapan aku.

"Sampai bila-bila pun aku takkan terima kau jadi anak aku, jijik!" marah mama setelah itu dia berlalu pergi meninggalkan aku. Air mata aku yang ingin mengalir cuba aku tahan supaya tidak mengalir disini. Aku dah biasa dengan semua ni namun kali ini segala tuduhan mama tu langsung tak berasas.

Aku bingkas bangun membuka langkah ke arah dapur. Rambut aku yang terkena sisa makanan dari pinggan tadi ingin aku cuci di singki. Namun sebaik saja aku menapak ke dapur, Mak Jah terkejut melihatkan keadaan aku. Apa yang boleh aku katakan ialah muka dan rambut aku comot dek kerana terkena sisa makanan tadi.

"Kenapa ni Hara?" tanya Mak Jah dan aku hanya tersenyum kelat. Air mata yang aku tahan kini jatuh juga ke pipi.

Mak Jah menarik aku menuju ke singki dan membantu aku mencuci segala kotoran yang terlekat di wajah dan rambut aku ni. Aku hanya mendiamkan diri tak berkutik.

"Sabar ya Hara?" nasihat Mak Jah, pasti Mak Jah sudah tahu siapa yang lakukan semua ni jika aku hanya mendiamkan diri.

"Ya Allah! Kenapa ni Hara!" jerit Kak Tina dari sisi aku yang entah dari mana datangnya tiba-tiba saja meluru ke arah aku dan Mak Jah.

Mak Jah menepuk perlahan lengan Kak Tina lalu memberi isyarat agar rendahkan sedikit suaranya agar mama atau siapa-siapa saja tidak terdengar perbualan mereka di dapur ni.

"Tak apalah Mak Jah, Hara okey. Sikit je ni." jawab aku lembut sambil menolak tangan Mak Jah yang sedang menguruskan rambut aku yang sudah siap dicuci. Kak Tina berdengus kasar. Aku tak tahu mengapa tapi jelas kelihatan wajah Kak Tina sepertinya tidak suka melihat keadaan aku sebegini.

"Hara kena kuat tau." tiba-tiba bahu aku digenggam erat oleh Kak Tina sambil merenung wajah aku. Anak matanya bertentangan dengan anak mata aku. Aku tersenyum manis ke arahnya.

Tangan Kak Tina aku genggam kemas. "Jangan risau, Hara dah biasa." balas aku membuatkan Kak Tina mengangguk perlahan. Dia mungkin percaya dengan apa yang aku katakan namun tidak Mak Jah. Jelas kelihatan aura sedih terukir di raut wajah Mak Jah.

"Hara minta diri dulu, nak tengok Sara." ujar aku meminta izin naik ke atas. Jujur kata aku sebenarnya aku lebih risaukan adik aku berbanding diri aku sendiri. Entah mengapa, aku rasa apa yang ayah tetapkan itu dak adil untuk Nur Sara.

Mungkin aku sependapat dengan ayah nak Nur Sara berubah tetapi bukan dengan cara mengahwininya secara paksa begini.

Mak Jah dan Kak Tina hanya mengangguk perlahan memberi keizinan. Aku segera keluar dari dapur menuju ke tingkat atas. Bilik Nur Sara menjadi arah tujuan aku. Aku tahu dia berada di dalam bilik. Mana lagi dia nak pergi jika bukan ke bilik?

Ketika aku tiba di hadapan pintu biliknya aku mula menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum aku hembuskan nafas berat. Pintu bilik itu aku ketuk sebanyak tiga kali sambil aku melaung nama Nur Sara.

"Sara!" tiada sahutan dari si pemilik nama tu.

"Sara! Boleh aku masuk?" soalku kepadanya, aku tahu walaupun dia tak menyahut panggilan aku. Dia dengarkan setiap tutur kata aku ni.

"Masuklah! Pintu tak kunci!" jeritnya dari dalam dan aku menekan tombol pintu lalu menolak perlahan-lahan daun pintu ni. Aku melihat Nur Sara sedang terbaring di atas katilnya sambil memeluk bantal busuk kesayangannya.

"Kau okey?" soal aku sambil melabuhkan punggung di hujung katil tu.

Nur Sara bangun dari pembaringannya sambil menatap wajah aku dengan tajam. "Kau nampak aku okey ke? Soalan pun!" marahnya membuatkan aku tersenyum sendiri. Tangan Nur Sara mula memeluk tubuhnya sendiri. Wajahnya dipaling ke tepi.

"Kalau nak merajuk janganlah dengan aku. Bukan aku yang minta semua ni jadi." ujar aku kepada Nur Sara. Akhirnya keluhan dilepaskan oleh Nur Sara, pandangannya dialihkan memandang ke arah aku.

"Teruk sangat ke aku ni?" soalnya, ada nada kesal dihujung pertanyaan tu. Wajahnya ditundukkan ke bawah. Aku tak suka melihat adik kesayangan aku ni bersikap begini. Aku bingkas bangun dari duduk untuk mendekatinya.

"Hei... kalau kau berubah tak keluar malam dan bersuka-ria macam selalu mungkin ayah takkan buat keputusan macam ni." pujukku sambil mengusap lembut tangannya. Nur Sara mengangkat wajahnya memandang aku.

"Kenapa ayah selalu lebihkan kau dari aku?" soalnya dan soalan itu buatkan aku terdiam seketika. Aku tiada jawapan untuk itu, aku tidak pernah rasa begitu. Aku fikir mama saja yang hanya memikirkan perkara sebegitu, rupa-rupanya Nur Sara juga sama?

"Ah! Tak apalah, tapi aku tak suka dengan rancangan ayah ni. Aku masih muda dan aku tak nak kahwin! Hara tolonglah aku, kau tak sayangkan aku ke? Kau tahu kan tak baik langkah bendul ni." rengek Nur Sara, segala kesedihannya berubah mendadak menjadi seorang gadis yang mengada-ngada di hadapan aku.

Tangan aku digoncangnya kuat. "Yah! Nur Hara! Tak kasihankan aku ke?" soalnya lagi membuatkan aku rasa serba salah. Bukan tak kasihankan dia tapi keputusan ayah siapa yang berani nak bantah?

"Aku pun rasa keputusan ayah tu tak adil. Tapi nak buat macam mana lagi? Ayah kan ketua keluarga?" soal aku pula sambil mengangkat kening kerana hairan melihat Nur Sara sudah tersenyum lebar. Seolah-olah apa yang aku katakan tadi masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

"Aku ada idea, kau pujuk ayah gantikan tempat aku boleh?" pintanya dengan wajah seperti minta penampar.

Aku menggeleng laju. "Tak! Tak! Aku tak berani." jawab aku sambil melepaskan tangan aku dari digongcang Nur Sara. Kepala aku jadi pening dengan goncangan tu.

"Yah! Aku nak kau gantikan tempat aku. Kau ke sana menyamar jadi aku, bila cukup waktu. Aku ke sana dan beritahu yang kau menyamar jadi aku. Aku tak mahu kahwin Nur Hara! Tolonglah aku." rengek Nur Sara lagi membuatkan aku tergamam.

"Kau dah gila ke? Perkara ni bukan boleh dibuat main-main." soal aku dengan nada tinggi. Hati dan perasaan seseorang pasti akan terluka jika aku ikutkan segala rancangan Nur Sara ni!

"Ya! Tapi kau tak sayangkan aku ke? Aku adik kau Nur Hara! Dan aku tak nak kahwin." ujar Nur Sara buatkan aku pening kepala. "Aku masih banyak goals yang aku nak capai dalam hidup aku, kalau aku kahwin sekarang habislah semuanya." Nur Sara cuba memaksa aku untuk setuju dengan rancangannya tu. Aku buntu! Jika aku biarkan saja mungkin Nur Sara akan jauhkan dirinya dari aku lagi.

Kami baru saja nak berbaik semula selepas aku tamat pengajian di univesiti. Jika aku lepaskan peluang untuk rapatkan diri aku dengannya, mungkin peluang sebegini tak akan datang lagi lain kali? Jujur aku buntu.

"Tengoklah nanti macam mana." jawab aku dengan nada mendatar, agak gila kalau nak ikut segala rancangan Nur Sara ni kerana aku tak berani nak membantah keputusan ayah.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status