Share

BAB 8

TEPAT jam tujuh pagi, Esra Elvina berdiri tegak di hadapan pagar Villa Edmond. Dia menanti pengawal keselamatan Dato Edmond membukakan pagar untuknya. Pengawal keselamatan sudah diberi pesanan awal sehari tentang kehadiran Esra Elvina pagi ini. Sesekali, pandangan mata Esra Elvina mengerling ke arah jam tangannya.

Noah yang keluar dari perut kereta terus memandang ke arah gadis berjaket hijau dan bertudung hitam. Tanpa berlengah lagi, dia menuju ke arah si gadis. Sambil dia berjalan sempat matanya melingas ke arah jam untuk melihat jarum jam terletak di angka berapa.

“Sekarang jam tujuh satu minit, bagusnya dia menghargai masa.” Sempat dia mengomel sendiri.

Dia ini memang menghargai masa.

“Assalamualaikum, bagusnya awak sampai tepat pada waktunya.” Ceria saja sapaan Noah. Namun sapaan itu hanya diperhatikan tanpa sebarang reaksi.

Walaupun hakikatnya Noah sedikit ralat mahu menerima kehadiran si gadis di dalam Villa Edmond, dia tetap menyantuni si jelitawan sebaik mungkin.

“Waalaikumussalam, Mana Dato Edmond?” soal Esra Elvina senafas. Senyuman dari Noah langsung tidak dibalas walaupun sesaat.

“Dia masih bersiap dan akan ke tempat kerja jam lapan setengah pagi.” Noah sudah berdiri tegak gaya si gadis. Dia jongketkan sedikit keningnya ketika mata saling bertatapan.

“Awak memang yakinkan nak bekerja dekat sini? Tekad awak ni memang hebat. Kalau berlaku apa-apa dekat awak nanti, jangan salahkan saya ya?” Sempat Noah berbisik perlahan di tepi telinga Esra Elvina. Senyumannya jelas menyinis si gadis.

Esra Elvina tidak suka di provokasi. Sikap Noah membuatkan dia rasa tidak selesa. Dia hanya mengabaikan kata-kata dari jejaka berkulit hitam manis.

Kau nak cakap apa pun lantak kau lah!

“Aku perlu tunggu di mana?” Elvina menyoal ingin tahu. Dia tidak memberi sebarang reaksi terhadap bisikan Noah sebentar tadi.

“Kebiasaannya Dato Edmond akan arahkan semua pekerja dia makan terlebih dahulu sebelum mereka semua lakukan pekerjaan. Jadi, kita pergi ke meja makan dulu ya?” jelas Noah yang sudah sedikit sebal melihat tingkah Elvina.

Robot versi manusia!

“Baik tunjukkan di mana dapur,” arah Elvina tegas.

Pergh, gaya dia cakap macam bos besar.

“Baik awak. Nama awak Esra Elvina, kan? So saya nak panggil awak apa? Panggil Esra boleh tak?” soal Noah ingin tahu panggilan nama di sebalik nama Esra Elvina. Saja dia mahu beramah mesra walaupun awal perbualan mereka tadi di mulakan dengan kata-kata peringatan bercampur amaran.

Esra Elvina yang mendengar sebutan nama ‘Esra’ terus terpanah. Jantungnya bagaikan terhenti buat seketika.

“Jangan panggil aku dengan panggilan tu!” tiba-tiba dia membalas nada kasar. Noah pula yang terkejut bila melihat wajah itu seolah-olah marah mendengar nama yang disebut sebentar tadi.

Aik, Esra tu nama dia. Kenapa dia marah pula ni? Nama semerdu itupun dia tak sukakah?

“Panggil aku Vina.” Noah mencemik bibir. Aduhai, nama Vina tak sesuai dengan karakter dia.

Vina? Macam tak best je.

“Vina? Hurm, tak best lah. Saya panggil awak Viviy?” selamba badak je dia kata panggilan nama Vina tak best.Terus tertancap tajam mata si gadis dibuatnya.

“Engkau boleh panggil aku Vina atau Elvina ...” Masih lagi dia bertegas agar namanya disebut dengan panggil Vina.

“El?” Elvina menggeleng perlahan. Suka hati Noah saja mahu menukarkan panggilan nama orang lain mengikut keselesaan diri sendiri.

“Vina Atau Elvina.” masih lagi mengulang bicaranya. Kali ini suaranya tinggi beroktaf-oktaf. Riak wajahnya pula masih tak ada perasaan walaupun intonasi suara sudah meninggi.

 Okey, panggil dia Elvina lagi bagus. Nampak sesuai dengan karakter. Bisik Noah sekadar dalam hati.

“Awak ni garanglah, senyum sikit tak boleh ke?” Elvina hanya berdiam kemudian kerusi di bahagian meja makan dia tarik untuk duduk.

“Awak...” Panggil Noah lagi nadanya lebih lembut.

“Lagi sekali engkau bersuara, aku bersumpah depan muka engkau yang aku akan tumbuk muka kau.” Terjugil biji mata Noah bila Elvina kata begitu. Tangan kanan Elvina sudah menghalakan penumbuk tepat ke arah wajahnya.

Telan liur Noah dibuatnya. Dia terus diam seribu bahasa.

Dia ni memang spesis manusia pelik...

Setelah beberapa minit mereka tunggu di bahagian meja makan, Dato Edmond muncul. Lelaki separuh abad itu menguntum senyuman indah. 

Si gadis memang tidak memungkiri janji.

“Assalamualaikum Elvina. Welcome to my villa.” Dato Edmond memberi ucapan selamat datang lantas dia duduk bersebelahan si gadis. Erbach Arsalan yang turun bersama Dato Edmond berkerut dahi melihat gadis di hadapannya.

“Terima kasih Dato Edmond,” balas Elvina mendatar. Erbach menapak perlahan sambil dia menjongket kening ketika memandang setiap inci tubuh si gadis yang duduk menegak bersebelahan papanya.

Tanpa berlengah, Erbach Arsalan duduk si sebelah kanan Elvina. Ada garis senyuman indah yang mekar di ulas delimanya.

“Perempuan bertudung ni nak jadi PA aku? Memang kena buli.” Sempat dia berbisik perlahan di tepi telinga Elvina. Tak sampai seminit beradu kening, Erbach sudah pamerkan sikap menjengkelkan depan pembantu peribadinya yang baru.

“Papa perkenalkan ini pembantu peribadi kamu yang baru, Esra Elvina.” Erbach Arsalan sekadar mengangguk. Senyuman mengejek terpancar di bibir saat mata memerhatikan Elvina.

Nick name?” soal Erbach penuh kelembutan. Mata dia tidak lepas memerhatikan riak wajah Elvina yang masih lagi berdiam diri. Pantang nampak perempuan dahi licin sikit, mesti dia pandang bagai nak terkam.

Dia tak reti nak duduk senang ke? Tak sakit ke pinggang duduk tegak dari tadi?

Desus hati Erbarch perlahan.

“Vina atau Elvina.”

“Okey, Vina. Hari ini awak dah mula kerja ya? Teman saya pergi set pengembaraan. Awak yang memandu.”

Elvina sekadar mengangguk tanda ‘ya’. Cara anggukan kepalanya membuatkan Erbach Arsalan sedikit gumam. Noah yang duduk di hadapan Elvina sudah tayang wajah cemas.

Habislah dia kena buli nanti.

“Elvina akan duduk dengan kita semua mulai hari ini untuk memudahkan kerja Erba,” terang Dato Edmond ringkas. Berkerut sedikit dahi Erbach bila papa memberitahu kenyataan itu kepada semua penghuni yang ada di Villa.

Haih, tak pernah-pernah pula pembantu peribadinya duduk serumah.

“Selama ni Personal assistant Erbach tinggal luar je?” Terpempan Erbach dibuatnya.

“Saya akan tinggal di sini untuk menjaga Erbach Arsalan. Saya diarahkan untuk menjaga tuan supaya tuan tak pergi ke kelab lagi.” Elvina bersuara membalas pertanyaan Erba. Pecah tawa Erbach Arsalan bila gadis itu bersuara.

Cakap pun sebutir-sebutir, ada hati nak jaga aku...

Ketika dia ralit ketawa, masing-masing sudah memerhatikan ke arahnya begitu juga Elvina yang sudah ditertawakan.

“Aku tak buat kelakar, aku serius.” Langsung terdiam Erbach mendengar penjelasan dari pembantu peribadinya yang baru. Panahan mata Elvina bagaikan petir yang memanah ke dalam matanya.

Sungguh, menakutkan. Garangnya muka dia ni?

“Papa tak mahu kamu buli dia ni macam kamu buli pekerja-pekerja kamu yang sebelum ini.” Dato Edmond bertegas.

“Erbach buli dia ke dia yang buli Erbach nanti? Huhuhu...” Perlahan saja suara Awie menyinis. Awie yang duduk di sebelah sibuk menyokong kata-kata dari Noah.

“Noah jadi tak nak pindah ke sini?” terus tersedak Noah menikmati hidangan bila soalan itu ditanya. Dia terus terkebil-kebil sambil mata bulat memandang ke arah dato yang masih menanti jawapan. Erbach pula sudah melirik pandangan ke arah Noah.

“Abang nak pindah sini? Kenapa pula? Rumah sewa abang tu tak bagus ke?” Erbach Arsalan sedikit pegun mendengar persoalan dari papanya. Dia menggaru sisi kepala.

“Bukan tak bagus tapi aku rasa memandangkan banyak benda yang aku kena manage pasal kau, ada baiknya kita duduk satu rumah. Kalau nak berbincang pun depan kolam je tak payah kita nak berjumpa kat luar,” terang Noah memberi jawapan. Erba hanya mengangguk faham.

Fuh, Dato ni pun beritahu satu rumah ni dah kenapa? Aku baru nak rancang-rancang. Desus hati Noah laju.

ABANG, hari ini Erbach punya lokasi photoshoot dalam hutan je, kan?” Noah yang duduk di kerusi bahagian hadapan terus memusingkan tubuh memandang Erbach Arsalan yang duduk menyilang kaki.

“Pagi ini kau ada photoshoot dekat Tadom Hill, mungkin makan masa 4 jam. Selepas itu kau ada press conferance untuk terangkan tentang gambar dekat kelab malam tu,” jelas Noah lancar. Pandangan matanya sedikit mengendur bila terkenangkan gosip Erbach beberapa hari lepas.

Erbach Arsalan pula menggaru telinga. Dia masih tidak dapat mencari jawapan untuk diterangkan kepada pihak media nanti. Jika dia mengaku bahawa dia lah jejaka di dalam gambar tersebut, sudah tentu banyak tawaran yang akan dibatalkan. Kenyataan belum dibuat pun banyak tawaran yang sudah dibatalkan, apa entah lagi jika kesahihannya sudah jelas nanti.

Kalau tak ada tawaran lakonan dia nak buat apa pula? Silap-silap kalau tak ada kerja, merundum namanya di persada seni hiburan nanti.

“Kalau pihak media tanya saya tentang gambar-gambar saya dekat kelab malam tu macam mana ya bang? Saya nak cakap apa dengan dia orang nanti?” Erbach Arsalan kebuntuhan begitu juga Noah.

“Apa kata engkau jujur dan mengaku salah. Just simple.

Noah cuba memberi cadangan. Erbach terus jatuhkan pandangannya sambil pejamkan mata buat seketika. Seriuslah nak mengaku salah? Kalau mengaku dapat apa? Dapat malu saja...

“Kalau dah buat salah mengaku, jangan sorokkan kesalahan yang mungkin memakan diri. Jangan cuba menidakkan kesalahan sendiri. Berani buat berani tanggung.”

Elvina menyampuk senada. Tergumam Erbach Arsalan tatkala suara itu selamba memperli dia yang masih terbeban dengan masalah.

“Hai, Elvina. Awak berani ya sindir saya macam ini? Awak kerja tak sampai satu jam dah pandai nak ajar saya!” berkerut-kerut dahi Erbach membahas sindirian Elvina. Si gadis hanya tayang wajah polos dan berdiam. Dia langsung tidak endahkan perasaan marah yang meluap ke dalam diri Erbach Arsalan.

Noah yang mendengar hanya tersenyum nipis melihat kelakuan Esra Elvina.

Dari awal perkenalan mereka di sekolah sampailah ke hari ini cara si gadis berjalan, cara si gadis bercakap dan memerhati saling tak tumpah macam robot manusia.

“Saya cakap dengan awak ni. Tak dengar ke?” suara Erbach bertempik kuat di cuping telinga Elvina. Wajah si jejaka sudah merah padam menahan marah.

“Boleh tolong diam tak? Aku benci dengan manusia yang tak menghormati orang lain. Kalau kau bising lagi aku berhentikan engkau dekat tepi jalan,” ugut Elvina tegas.  Intonasi suara Elvina sudah naik sedikit. Walaupun matanya masih memandang ke jalan raya tetapi bibirnya keras dalam bicaranya.

Berani dia nak berhentikan aku dekat tepi jalan? Nonsense dia boleh buat macam tu.

“Aku tengah marah kau buat lawak bodoh pula.” Noah yang masih mendengar amukan Erbach separa teriak hanya mampu berdiam diri.

Seumur hidup Noah, dia tak pernah lihat seorang pun pembantu peribadi Erbach seberani Elvina. Rasa nak buat tabik hormat pula dekat si Elvina sebab berani melawan Erbach si kepala batu.

“Aku tak ada masa untuk buat lawak. Kalau kau tak percaya sekarang juga aku boleh buat!” Kereta Vellfire berwarna hitam milik Erbach Arsalan terus dihentikan.

Terkejut mereka ketika Elvina memberhentikan kereta secara mengejut.

“Kau nak buat apa ni?” teriak Erbach hilang sabar. Noah pula masih terkelu lidah. Tak sangka pula apa yang keluar dari bibir Elvina semuanya serius dan tidak berjenaka.

“Kalau kau marah-marah lagi aku akan berhentikan engkau dekat tepi jalan,” ugut dia lagi tanpa menghiraukan perasaan si jejaka.

“Siapa bos sekarang ni? Aku bos ke engkau yang bos?” tengking Erbach semakin berang. Suaranya naik beroktaf-oktaf.

“Dato Edmond bos aku. Dia arah aku untuk jaga kau sebaik mungkin supaya engkau berubah jadi manusia yang berdisiplin.” Elvina Menjawab senada. Kemudian, dia membuka pintu sebelah pemandu tanda memberi amaran kepada Erbach untuk keluar, jika dia berbuat kesalahan.

“Kau tak reti nak hormat aku ke? Apahal kau ni tak berlembut depan anak majikan kau?” Erbach Arsalan menutup semula pintu kereta.

“Dato Edmond minta aku ajarkan engkau cara berdisiplin, dia tak suruh aku berlembut dengan kau. Jadi kalau kau biadab, aku tak teragak-agak akan buat benda lagi teruk pada ini.” Mendengar jawapan yang terluncur keluar dari bibir Elvina, perasaan marah Erbach Arsalan semakin menebal masuk ke dalam jiwa raganya.

Sungguh menyakitkan hati...

“Kau ni psiko ke? Dekat manalah bapak aku jumpa kau ni!” Dia mengetap bibir menahan kemarahan yang semakin menipis.

“Sekali lagi kau bising aku turunkan kau. Kalau engkau tak mahu turun aku sendiri yang akan heret kau keluar! Jangan ingat aku tak mampu,” jelas Elvina seraya mata masih stastik memandang jalan raya. Dia langsung tidak membuang pandangan memandang Erbach walaupun sekejap.

“Beraninya perempuan ni nak ugut aku! Dekat mana papa jumpa dia ni?” Noah hanya menjongket bahu. Dalam diam, dia tersengih-sengih sendiri.

Dada Erbach turun naik. Tahap kesabaran lebih nipis dari kulit bawang. Dia tampak wajah Elvina langsung tiada riak walaupun dia sudah melakukan kesalahan iaitu mengugut majikan sendiri.

Aku akan buat perempuan ni tunduk dengan aku!

BERANI ya awak buat macam itu dekat Erbach? Selama ini tak ada seorang pun berani buat macam tu dekat dia. Sekarang ini, saya yakin yang awak tak akan dibuli.”

Noah memuji Elvina ketika menunggu Erbach menghabiskan pekerjaannya di set pengembaraan. Setelah hampir setengah jam bersama, baru sekarang Noah berani bersuara.

Ketika dia memerhatikan Elvina tadi, mindanya sarat dengan pelbagai persoalan.

Melihat gaya Elvina duduk tanpa bergerak ke kanan dan ke kiri sudah membuatkan dia musykil apa entah lagi melihat cara Elvina berpakaian.

Dia sangat misteri dan gaya dia membuatkan aku nak mendekati dia.

“Siapa dia untuk ditakuti? Dia bukan Tuhan,” balas Elvina mendatar. Fuh ayat bikin sentap jiwa. Terbelalak mata Noah mendengar jawapan ringkas dari si gadis. Dia terkaku sendiri.

“Aduhai awak ni Vina, suka sangat buat ayat menyentap jiwa. Saya cakap macam tu sebab saya tak sangka yang awak ni langsung tak kisah bila bos dah marah-marah awak serupa orang gila. Awak selamba je hadap dia. Langsung tak rasa takut dengan jerkahan dia tadi,” cerita Noah yang cuba memahamkan Elvina tentang persoalan demi persoalan yang berlegar dalam kotak fikirannya.

Elvina sudah memusingkan kepalanya bila mendengar penjelasan dari si jejaka. Lantas ekor matanya memandang ke dalam mata Noah.  Dia menarik nafas dalam sebelum meneruskan bicaranya.

“Aku pernah jumpa manusia lagi jahat dari dia. Setakat manusia macam dia, aku anggap semut,” tegas suara Elvina. Tiada lagi manusia jahat yang pernah dia jumpa selain lelaki yang sudah meragut kebahagian dia dan emaknya.

Manusia yang merentap seluruh kebahagiaannya!

“Apa maksud awak?” Noah bagai merasakan ada sesuatu rasa yang tersimpan di dalam hati Elvina, namun bicara itu tidak mampu untuk diluahkan.

“Tak ada apa-apa. Aku nak tahu lepas ini press conferance di mana? Apa aku perlu buat sepanjang masa aku berada di sana nanti?” Elvina menggeleng lantas menukar topik perbualan mereka.

Noah tidak mahu bertanya lebih lanjut kerana dia tahu bahawa Elvina tidak akan menjawab soalan yang terlontar di pinggir bibirnya.

“Awak perlu catat apa yang Erbach katakan dekat sana nanti. Saya pula akan duduk temankan Erbach waktu dia perjelaskan tentang isu yang berlaku sekarang ini.” terang Noah penuh berdedikasi.

Cara Noah bekerja sangat disenangi. Dia bijak dalam kerjanya dan dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk menyusun atur jadual Erbach Arsalan dengan aturan yang terbaik dan memudahkan.

“Baiklah.” ringkas jawapan Elvina. Setelah itu, dia memusing semua kepalanya memandang depan.

“Awak tak ada rasa nak berbual dengan saya ke? Saya bosan ni...” Elvina berdiam tidak menjawab. Kelakuan Elvina meranap seluruh harapan dia untuk di temani oleh seseorang di kala kebosanan seperti detik ini.

“Awak ni memang tak reti nak bercakap ke? Mulut ada emas ke? Kalau ada emas dalam mulut awak tu, bolehlah saya keluarkan,” soal Noah sampai kembang-kembang hidung dibuatnya.

“Kalau engkau ada cerita engkau cerita, aku dengar.” Meleret saja suara Elvina. Dia tidak kisah jika menjadi pendengar setia buat lelaki di sebelahnya.

“Saya nak bertanya bukan nak bercerita.” Noah tayang wajah cemberut. Kalau nak berbual, bukannya satu pihak aje yang kena keluarkan suara.

“Baik, engkau ada masa tiga puluh saat untuk bertanya.”

Mak ai... tiga puluh saat je dia berikan masa untuk aku tanyakan segala persoalan kat dia?

kedekut tahi hidung masin betul...

“Awak memang selesa ke hidup macam robot ni? Atau awak saja buat macam ini sekadar nak uji manusia?” Noah bertanya polos. Dia mahukan kepastian.

“Aku tak cakap pun aku robot. Jangan panggil aku robot!” balasnya. Noah melukis senyuman nakal. Kemudian, dia menyengetkan kepala memandang wajah Elvina yang masih tak beriak.

“Kalau saya nak panggil awak robot juga, awak nak buat apa?” kening diangkat tinggi ketika bertanya. Saja mahu menduga si gadis.

“Aku akan pastikan hidung kau berdarah!” Keras amaran yang diberikan. Noah terus menyentuh hidung.

Fuh, jangan buat hal. Kalau hidung aku patah, hilang kemacoan. Hidung mancung ni aset aku.

Comments (1)
goodnovel comment avatar
ms_rough
Hidung berdarah.. hahahhaha...seram weiiii
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status