Share

Dua puluh lima

Sebelah sayap telah patah,

kedinginan salju punya angkara;

rencana jahat akan diperpatah,

oleh perajurit yang kian mara.

FIUH!

Sebiji peluru meluncur laju ke arahnya dan dia tidak sempat mengelak.

"Aduh!" Lengan kirinya tercedera dek goresan butir mematikan itu.

Fiuh! Fiuh!

Tembakan dilepaskan lagi oleh pihak di sana. Dia terpaksa menghapus niat untuk meneliti akan mayat yang ditemukannya tadi.

Beberapa ketika, suasana kembali sepi. Hanya deruan ombak yang menghempas pantai.

Tiba-tiba, sebuah ledakan pula memecahkan keadaan hening.

Boom!!

Individu tersebut terperanjat. Setelah itu, tiada kedengaran lagi bunyi dari apa-apa senjata api.

Jambatan tadi dia hampiri. Glock 19 masih kemas digenggaman sebagai langkah berjaga-jaga.

Namun, ada sesuatu yang telah dia temukan sebaik kakinya menapak ke gigi pantai.

'Banyaknya ikan dekat sini. Tapi kenapa ia boleh naik ke darat? Mesti ada sesuatu yang tak kena ni. Aku kena siasat.'

Orang tersebut meninjau situasi di sekitarnya sebelum ternampak akan sesuatu yang aneh lagi.

'Eh, ini bukankah merkuri?'

Fikirannya baru menangkap akan fungsi bahan kimia berkenaan lantas berlalu naik ke jeti batu pula.

'Aku kena cari tahu puncanya dari mana.'

Ledakan tadi telah mengakibatkan sepertiga daripada jambatan itu musnah. Termasuklah kapal besar tadi.

Dalam kesibukan menyelidiki tempat kejadian tersebut, dia tidak sedar akan kewujudan seseorang di belakangnya.

Terasa belakang tengkuk diacukan dengan sepucuk pistol.

"Kalau kau bergerak, kau akan mati!"

Dirinya terkaku.

* * *

KEADAAN semakin huru hara kerana bunyi letupan sebentar tadi.

"Kau orang tunggu apa lagi? Pergi siasat cepat letupan tu datangnya dari mana!"

Kapten Naz memberi arahan dan seperti biasanya, beberapa orang daripada pasukannya bergegas mencari tahu.

"Baik, tuan kapten!"

Fid mula tidak senang duduk. Dia risau akan keselamatan dua orang remaja itu - Hifza dan juga D.

'Harap-haraplah kau orang berdua tak apa-apa...' Doanya dalam hati.

Dia masih juga berusaha untuk melepaskan diri daripada tawanan Kapten Naz. Namun, lelaki itu bijak menghidu semuanya.

Teruk dia dibelasah. Maka, kesakitan yang bersarang pada tubuh semakin merebak.

"Hei, Fid! Kau mesti tahu kan pasal letupan tu? Cakap dengan aku! Apa yang kau cuba nak buat sebenarnya?"

Baju kalis peluru kepunyaan Fid ditarik kuat menghadap si ketua. Dia hanya mampu menggeleng.

"Saya langsung tak tahu, kapten. Bukan saya yang buat."

Buk! Tumbukan hinggap di rahang bahagian kirinya pula. Kian perit terasa bagi diri Fid. Tetapi tidak berdaya lagi untuk menghalang mahu pun membalas.

"Hei. Kau dengar sini, Fid. Kalau aku tahu yang kau ada kaitan dengan letupan tadi, jadi persiapkan diri kau untuk dikuburkan dekat sini. Faham!"

"Kapten!"

Salah seorang anak buah Kapten Naz tiba dalam keadaan cemas. Sekali gus menamatkan ugutannya.

"Kenapa kau tiba-tiba masuk ke sini?" soal Kapten Naz yang kurang senang.

"Begini, kapten. Ada puluhan remaja kami temui dan mereka masing-masing memiliki senjata api. Sekarang, mereka sedang menyerang kita."

"Tak guna!!" Tubuh Fid ditolak kuat sebelum Kapten Naz berlalu keluar bersama-sama lelaki tadi.

Binokular diberikan kepadanya dan ia memang benar sebab terpampang jelas akan sebuah medan pertempuran di hadapan mereka.

"Tch. Mereka terlalu ramai. Lagi pun, kita ke sini bukan untuk bersaing dengan mereka. Jadi kita terpaksa berundur dan tinggalkan pulau ni. Lekas!" ujar si ketua lagi.

Anak-anak buahnya segera melaksanakan arahan tersebut. Mereka kelam-kabut mengiringi Kapten Naz menuju ke arah bot mereka.

Dalam keadaan sebegitu, nyawa sendiri lebih diutamakan berbanding orang lain.

Fid ditinggalkan begitu sahaja.

Mahu tidak mahu, dia melanjutkan pembebasan diri.

Kulit yang melecet semakin teruk dan darahnya juga semakin banyak mengalir. Namun, lelaki itu tidak lagi peduli. Asalkan nyawanya selamat!

Setelah bertarung dengan kesukaran, dia bebas akhirnya. Akan tetapi sebaik sahaja dia keluar dari ruangan berkenaan, beberapa muncung senjata api menghala ke arahnya.

Air liur diteguk kasar.

'Ya Allah, selamatkanlah hambaMu ini...'

* * *

D mengangkat kepalanya seusai bunyi ledakan tadi kedengaran. Hifza yang berada dalam pelukannya, dia lepaskan.

"Kita kena cepat keluar dari sini, Hifza. Mungkin saja mereka berniat nak musnahkan pulau ni."

"Ha, musnahkan? Err... ini bermakna, kita akan... mati... dekat... sinilah?" Mata Hifza berkaca. Ketakutan yang teramat sedang menyelimuti diri. Pelbagai andaian muncul di benaknya.

Anak muda itu tidak merespon apa-apa. Lidahnya kelu. Dia hanya membuang pandang ke arah lain.

"D, jawab soalan saya-"

"Aku tak ada jawapannya. Yang penting sekarang ni, kita kena berusaha untuk keluar dari sini," cantasnya laju.

"Usaha? Kita nak usahakan apa lagi, D? Kalau memang betul pun mereka nak letupkan tempat ni, kita dah tak boleh nak lari ke mana-mana lagi!"

"Hei, Hifza. Aku cuma cakap 'mungkin'. Belum tentu firasat aku benar. Entah-entah cuma letupan biasa untuk hancurkan sesuatu. Hm. Bot laju misalnya..."

Hifza yang mula lemas dalam tangisan itu menatap wajah si lelaki. Dia ingin mencari kepastian. Sehingga kini, dia berharap dan percaya kepada D. Padahal nyawa yang terjamin selamat, masih samar-samar.

"Saya... tak... nak... mati... dekat... sini-"

"Aku pun sama, Hifza. Siapa juga yang rela bersemadi tanpa batu nisan di sini? Tapi kalau Allah dah aturkan macam tu, kita ni siapa nak menentang-Nya? Asalkan kita dah berikhtiar semampu boleh. Selebihnya, bukan urusan kita..."

Hifza terduduk lalu memeluk lutut sambil menghadam apa yang telah pemuda tersebut katakan dalam bersahaja.

Fikirannya menerawang kepada si ayah. Apakah nanti jika dia meninggal, dia akan bertemu dengan perwiranya itu?

Persoalan itulah yang bertunas pula.

Agak lama si gadis larut dalam sangkaan sebelum D mula bersuara.

"Jom, Hifza. Kita pergi..."

Hifza menatapnya tajam mengakibatkan D tidak senang duduk. Dia menjadi salah tingkah apabila diperhatikan lama sebegitu dek seorang gadis.

"Sebelum kita pergi, bagitahu pada saya. Apa sebenarnya yang awak dah sembunyikan? Siapa Syaz tu pula? Saya nak tahu, D."

"Haih. Kita tak ada masa nak cakap pasal benda tu. Lebih baik kita teruskan perjalanan kita. Selepas kita keluar dari sini, aku janji akan ceritakan semuanya pada kau-"

"Awak yakinkah... kita akan keluar dari sini dengan selamat?"

Sekali lagi D mengatup mulutnya. Tiada kepastian mahu pun jaminan. Jadi bagaimana dia boleh suka-suka berbicara sebegitu?

Keluhan berat terluah jua. Wajahnya diraup beberapa kali. Dia duduk bersila di hadapan Hifza yang berjarak semeter sebelum dia mula menceritakan semuanya.

"Okeylah. Aku akan bagitahu pada kau tapi aku akan cakap sekali saja. Jadi dengarkan ia baik-baik."

Hifza mengangguk.

"Huh! Syaz tu sebenarnya..."

* * *

TANPA membuang waktu, Koby bergabung dengan pasukan keselamatan negara untuk menyelesaikan permasalahannya.

Ya. Dia telah menceritakan perihal sebenar mengenai sindiket gelap yang berlaku di Pulau Batu demi membantu banyak nyawa.

"Baiklah. Kita akan ke sana, sekarang. Tapi Encik Koby akan kami tahan untuk siasatan lanjut selepas semuanya selesai. Mengerti?"

Inspektor Syakir bersuara dengan nada tegas. Biar macam mana, si penjenayah tetap dihukum. Itu semua demi keseimbangan dalam peraturan serta pantang larang dalam sesebuah negara.

Mereka hanya melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Koby menggangguk, "Baik. Saya akan terima apa sahaja hukumannya, tuan inspektor. Asalkan sahabat baik dan mangsa-mangsa yang lain terselamat."

Maka termeterailah akan sebuah perjanjian. Sekali gus dia menerima gelang kelabu di pergelangan tangannya.

"Kami akan bawa kamu bersama kami untuk memudahkan siasatan."

Sekali lagi Koby mengangguk. Dia tersenyum senang.

Terbayang akan riak Mior yang sedang tersenyum kepadanya.

'Mior, bertahanlah. Kami akan datang selamat kau dan yang lain sesegera mungkin. Tunggu tau...'

* * *

TUBUH yang dipenuhi dengan pasir, dia gerakkan perlahan-lahan. Langit cerah menjadi santapan pertama tatkala kelopak mata terbuka.

"Uhuk! Uhuk!" Mior terbatuk kuat kerana air masin dan juga pasir telah berbekas dalam mulut.

Kepedihan semakin terasa terhadap luka yang dia telah dapatkan. Entah berapa lama dia terdampar di situ. Persekitaran diperhatikan seketika sebelum terlihat akan sosok tubuh seseorang terlentang tidak jauh daripadanya.

Mior merangkak maju menuju jasad si lelaki asing yang bersamanya di tengah laut sebentar tadi.

"Hei, bangunlah!" Pipi lelaki itu dia tampar halus.

Namun apabila tindakannya tidak menerima apa-apa balasan, dada si individu dia tekan beberapa kali.

"Bangunlah, woi!"

Tiada balasan tapi dia yakin orang tersebut masih bernafas.

Cuma dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Untuk ke sekian kalinya, bantuan kecemasannya berjaya juga.

"Hergh!! Uhuk! Uhuk!"

Mior terduduk keletihan. Dia menarik nafas lega.

"Syukurlah kau dah sedar..."

Seusai Leo menyelesakan diri, dia memandang orang di sebelah kirinya.

"Kenapa tak biarkan aku mati lemas dalam laut tu?"

"Kau ni kena sampuk dek penunggu laut atau apa? Dah celik mata, rongga pernafasan selesa dan tak kudung abdomen, tapi kau dah cakap hal-hal yang mengarut. Tak bersyukur langsung!"

Mior duduk berlunjur kaki. Kedua tangannya pula menjadi tongkat tubuh. Dia menatap samudera biru, tempat di mana mereka bersayembara tanpa saingan makhluk.

Namun, ia amat mengerikan jika diulang tayang. Tidak ingin dia mengulanginya.

"Aku dah cuba nak bunuh kau, Mior tapi kau-"

"Wei, aku laparlah. Jom kita cari buah atau apa-apa makanan di sekitar pulau ni."

Mior malas untuk bertikam lidah. Dengan keadaan diri tidak seberapa berdaya, dia melangkah secara rambang. Dari kejauhan, lelaki itu terlihat akan sebatang pokok kelapa.

Dia tahu nak buat apa.

"Hei, Mior!"

Jeritan Leo tidak dia pedulikan. Malah si empunya nama telah bersiap sedia untuk memanjat pokok.

"Woi! Kau dengar tak apa yang - argh!!

Tiba-tiba sebutir peluru tanpa mata menembusi kulit bahu kanan Leo. Individu berkenaan terduduk di atas pasir sambil menahan darah yang deras mengalir.

Sepantas kilat Mior berlari ke arah Leo lantas menariknya ke tepi lalu menyorok pada sebuah bebatuan besar.

"Ada orang dekat sini," kata Mior ringkas.

"Itu aku tahulah. Makanya, aku bawa kau ke mari. Aku nak serahkan kau kepada seseorang-"

Kolar baju Leo ditarik kuat.

"Kau tahu siapa yang ada dekat sini? Siapa dia dan kenapa kau buat semua ni, ha?" Lava amarah Mior meletus jua.

"Kapten Naz! Aku nak serahkan kau pada dia sebab dia dah lama cari kau. Lepas tu, aku akan dapat imbalan lumayan daripada dia. Puas hati?"

Si empunya nama tersebut tersangat dia kenali dan hormati suatu ketika dahulu. Malangnya kini, semua itu tidak lagi dia rasakan.

Benarkah bekas ketuanya itu mahukan dirinya angkara sebongkah kesumat lama?

Boleh jadi ia memang benar.

"Kau-" Mior menahan tumbukannya daripada mendarat pada muka si lelaki.

Tanpa menunggu lama, dia berlalu pergi.

"Hei, Mior. Kau nak pergi ke mana tu? Kau takkan pernah tahu selok-belok Pulau Batu ni kalau aku tak ada dengan kau!"

Deg. Langkah Mior terhenti.

'Pulau... Batu? Lah. Kenapalah aku tak perasan pasal tu?' bisiknya seketika sebelum membuka langkah seribu menuju ke suatu tempat.

Teriakan Leo bak orang gila itu tidak dia endah. Berpaling jauh sekali. Dia ditinggalkan bersendirian di situ.

* * *

"KAPTEN, ada suara jeritan seseoranglah. Ia datang dari gigi pantai. Mungkin dia adalah orang yang kapten cari."

"Maksud kau... Mior?"

Anak buah seorang itu mengangguk.

"Cari dia sampai jumpa. Jangan sampai terlepas!" Arahannya diterima pantas oleh orang bawahan.

Setelah Kapten Naz duduk elok di dalam kapal, dia mendail akan nombor telefon seseorang.

"Nombor yang anda dail, tidak ada dalam perkhidmatan. Terima kasih."

Suara operator mencelah pula menyebabkan si ketua bengang. Dia cuba sekali lagi.

"Nombor yang anda-"

"Aish! Manalah budak Leo ni? Kenapa ditelefon tapi tak dapat-dapat? Haih. Dia memang nak kena dengan aku ni. Dia belum tahu aku ni macam mana orangnya..."

Geram menyerbu diri.

"Kapten, kapal kita ada masalahlah!"

Kapten Naz yang mendengar akan hal tersebut semakin dirasuk berang.

"Apa? Haish, sial betul!"

Geduk! Gebak! Bunyi kuat daripada sesuatu yang aneh kedengaran kini.

Mereka semua tercenggang tatkala segerombolan remaja bersenjata tadi menghampiri kenderaan air tersebut.

* * *

SEDANG elok dia mencicip secangkir kopi hangat, dia terdengar akan beberapa siren polis. Hal tersebut menyebabkan Lian berdiri di hadapan bingkai jendela kaca.

'Banyaknya kereta polis ni. Dia orang nak buat apa sebenarnya?' soalnya dalam hati.

Namun apabila dia tidak berpuas hati dengan keadaan sebegitu, bergegaslah dia bersiap lalu keluar dari kamar.

Penjaga tempat penginapan itu dia tanyakan angkara mood ingin tahunya memuncak.

"Uncle Yan, kenapa ramai polis dekat sekitar sini? Ada penjenayah yang sedang diburukah?"

Seorang lelaki berumur 50 tahun berkenaan mula berbicara.

"Oh, bukan. Tapi anak saya kata tadi, polis-polis tu semua akan pergi ke Pulau Keramat tu, ha. Nak tumpaskan jenayah dekat sana. Macam tulah khabarnya."

Lian mengangguk. Cukup sekadar itu maklumat yang dia terima. Rasa-rasanya, dia juga ingin mengetahui hal tersebut lebih lanjut.

Akan tetapi, bagaimana dia ingin ke Pulau Batu? Para nelayan di perumahan itu tidak akan mahu menghantarkannya ke sana. Ia berpunca daripada sejarah kelam tempat itu.

Makanya, mereka lebih baik mati kebulur berbanding mati dibunuh oleh penunggu pulau yang terdiri daripada pesakit-pesakit kronik.

Kononnya, begitulah.

'Habis tu, macam mana sekarang ni? Macam manalah aku nak ke sana? Hm.'

Lian menahan sebuah teksi sebelum menuju ke pelabuhan besar.

Selepas membayar tambang, dia berdiri tidak jauh dari kelompok keselamatan yang bersiap sedia untuk naik ke atas beberapa buah bot laju.

Tiba-tiba, kornea mata si pemuda tertangkap akan satu kelibat yang berada di tengah-tengah pasukan polis itu.

'Eh, suspek utamanya dah ditangkap? Oh, jadi mereka semua nak ke sana sebab nak serang hendap markas penjenayahlah, kan?'

Soalan tersebut bersimpul dalam benak Lian. Nampak gayanya, dia lebih terpancing untuk menyiasat dengan cara tersendiri

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status